Arteta bimbang jadual padat jejas kebajikan pemain

LONDON: Mikel Arteta memberi amaran kebajikan pemain perlu menjadi keutamaan utama pembuat dasar bola sepak susulan jadual padat yang berisiko menjejaskan prestasi skuad Arsenal.

Skuad kendalian Arteta dijadual menentang Crystal Palace pada suku akhir Piala Liga 16 Disember ini, namun penetapan tarikh itu menimbulkan dilema kerana ia akan menyaksikan Palace beraksi tiga kali dalam tempoh lima hari.

Difahamkan, Arsenal mahu perlawanan itu kekal pada 16 Disember bagi mengelak jadual yang semakin sesak menjelang tempoh perayaan Krismas, manakala Palace berharap ia dapat ditunda seminggu.

Ketika ini, Arsenal berdepan tujuh perlawanan dalam hanya 22 hari dengan pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) itu akan berkunjung ke Burnley malam esok sebelum bertemu Slavia Prague dalam saingan Liga Juara-Juara, Selasa depan.

“Setiap keputusan mengenai jadual perlu berpaksikan kepada dua perkara utama – kebajikan pemain dan penyokong. Itu sahaja. Yang lain datang jauh kemudian. Anda tidak boleh lupa prinsip itu,” kata Arteta pada sidang media praperlawanan hari ini.

“Kalau setiap keputusan dibuat dengan dua perkara itu, anda tidak akan sampai ke tahap yang membebankan. Tetapi kalau ia diabaikan, apa-apa sahaja boleh berlaku.”

Musim lalu, pemain tengah Manchester City, Rodri pernah memberi amaran pemain mungkin bertindak mengadakan mogok sekiranya jadual terus terlalu padat.

Apabila ditanya sama ada kemungkinan itu boleh berulang, Arteta menegaskan: “Kalau anda benar-benar menjaga kebajikan pemain dan penyokong, perkara itu tidak akan berlaku. Anda mesti tutup terus ruang itu, ia nilai paling berharga dalam bola sepak.”

Arsenal mara ke suku akhir Piala Liga selepas menewaskan Brighton 2-0 kelmarin, kemenangan kelapan berturut-turut dalam semua pertandingan.

Skuad The Gunners kini memiliki kelebihan empat mata di puncak liga dan belum dibolosi dalam enam perlawanan terakhir, sekali gus terus mengintai peluang menamatkan penantian gelaran liga pertama sejak 2004.

“Tidak, kami belum boleh kata kami tidak boleh ditewaskan,” kata Arteta apabila ditanya mengenai momentum pasukannya.

“Kami masih perlu kekal konsisten setiap tiga hari dengan masa latihan yang amat singkat. Ia peluang besar buat kami, tetapi juga satu cabaran yang besar.” – AFP

More From Author

Sg. Sayong tercemar lagi, air jadi ‘susu’

Slot mahu Liverpool henti tabiat kalah