‘Salji’ landa Ulu Tiram?

JOHOR BAHRU: Riuh penduduk di Taman Bestari Indah, Ulu Tiram di sini apabila sekumpulan kanak-kanak terkejut tetapi teruja melihat hujan batu melanda secara tiba-tiba pukul 4.20 petang tadi.

Malah ada antara mereka menyangka salji turun tetapi sebenarnya air hujan dalam bentuk ketulan ais

Widad Mahmud, 11, berkata, ketika kejadian berlaku, dia sedang bermain bersama-sama rakan di depan rumah dalam keadaan cuaca panas.

“Tiba-tiba hujan turun, kami pun ingat hujan biasa, tapi lepas tu bunyi macam batu jatuh atas bumbung. Mula-mula takut, tapi bila tengok betul-betul, rupa-rupanya ais jatuh dari langit,” katanya sambil ketawa kecil ketika ditemui hari ini.

Widad dan rakan-rakan mula mencari menyedari ketulan ais itu tidak berbahaya serta bersaiz kecil.

“Saya jerit panggil kawan, ‘Weh keluar cepat! Ada batu ais!’ Kami semua cepat-cepat kutip dan tunjuk pada ibu bapa. Seronok sebab tak pernah tengok hujan batu depan mata,” jelasnya yang turut menyimpan beberapa ketulan ais sebagai kenangan.

Beberapa penduduk turut teruja dengan fenomena berkenaan, malah ada yang merakamnya sebelum memuat naik ke media sosial.

Seorang penduduk,Haslinda Khalit , 45, berkata anak-anak di kawasan itu bersorak kegembiraan apabila melihat ais bertaburan di atas jalan dan kawasan parkir kereta.

“Selalunya tengok dalam video atau cerita luar negara saja. Hari ini kami dapat lihat sendiri. Walaupun sekejap, ia pengalaman luar biasa,” katanya.

Fenomena hujan batu lazimnya berlaku apabila awan ribut petir mengangkat wap air ke atmosfera yang lebih sejuk, lalu membentuk ais dan jatuh semula ke tanah.

Tiada kecederaan atau kerosakan dilaporkan. – Majestic

More From Author

Dua lelaki curi kenderaan, pecah rumah ditahan

Sg. Sayong tercemar lagi, air jadi ‘susu’