Aspirasi Bandar Pintar Malaysia perlukan kerjasama erat sektor swasta – Kor Ming

KUALA LUMPUR: Aspirasi Bandar Pintar Malaysia inisiatif Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) tidak mungkin dicapai sekiranya ia didukung oleh kerajaan semata-mata.

Menterinya Nga Kor Ming menegaskan, ia memerlukan kerjasama erat di antara sektor awam dan swasta bagi memenuhi impian yang membawa banyak kebaikan itu.

“Sebagaimana kita sedia maklum, KPKT melalui pelbagai inisiatif seperti Bandar Pintar Malaysia, amat menitikberatkan pembangunan persekitaran binaan yang mampan, berdaya huni dan berteknologi tinggi.

“Pada masa sekarang terdapat banyak inovasi seperti sistem alatan tandas automatik, ‘flush’ valve pintar serta konsep bilik air pintar.

“Saya berharap lebih banyak syarikat menyokong usaha ini dalam industri dengan memperkenalkan inovasi yang bukan sahaja berdaya saing dari segi teknologi, tetapi juga memberi manfaat kepada komuniti dan alam sekitar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Pusat Pengalaman Bilik Pameran Rigel, di mana teks ucapannya dibaca oleh Ketua Pengarah Jabatan Kerajaan Tempatan KPKT, Datuk Mohd Fadzli Mohd Kenali.

Sebagai sebahagian daripada komitmen berterusan terhadap inovasi dan tanggungjawab terhadap alam sekitar, Rigel Technology (M) Sdn Bhd melancarkan bilik pameran gaya hidup utama pertamanya di Malaysia.

Ia sekali gus menetapkan penanda aras baharu dalam inovasi sanitari moden dan falsafah “Advance Living” Rigel – yang menggabungkan rekaan, kelestarian dan keselesaan pintar.

Pusat Pengalaman Bilik Pameran Rigel ini mentakrifkan semula masa depan ruang kediaman dengan menggabungkan rekaan pintar, inovasi mesra alam dan keselesaan gaya hidup di bawah satu bumbung.

Bilik pameran utama ini mempamerkan rangkaian produk Rigel yang paling maju serta teknologi iaitu bilik air pintar, menawarkan pengalaman menyeluruh kepada pengunjung tentang bagaimana kelestarian, kemudahan hidup moden dan kesihatan diri boleh wujud secara harmoni.

Dalam pada itu, Kor Ming berkata, KPKT akan menganjurkan Anugerah Toilet of The Year Award Tahun 2025 (TOTYA) untuk memberi pengiktirafan kepada mereka yang memberikan komitmen dalam mewujudkan tandas awam bertaraf ‘BMW’.

“KPKT telah mengorak langkah untuk mengubah persepsi masyarakat terhadap kebersihan tandas awam dengan meningkatkan pengurusan kebersihan dan keselesaan tandas-tandas awam melalui konsep Tandas Awam ‘BMW’.

“Konsep tandas awam ‘BMW’ ini jika dilaksanakan dengan cara yang betul maka ia akan dapat meningkatkan imej negara terutamanya di kalangan pelancong-pelancong,” katanya lagi.

More From Author

Razak Ahmad kini bergelar Datuk

Johor jadi negeri pintar pertama