KUALA LUMPUR: Pelakon veteran, Razak Ahmad, 58, dianugerahkan gelaran Datuk oleh Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran dan Pingat-Pingat Pahang Sempena Memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Yang Ke-66 Sultan Pahang, hari ini.
Menerusi hantaran dimuat naik di akaun media sosialnya, Razak meluahkan rasa syukur dan rendah hati dengan penganugerahan gelaran Datuk diterima yang disifatkan sangat bermakna.
“Dengan penuh rasa syukur dan rendah hati, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah atas penganugerahan gelaran Datuk yang bermakna ini.
“Penganugerahan ini bukan sekadar satu pengiktirafan peribadi, tetapi juga satu amanah besar yang perlu digalas dengan penuh integriti, tanggungjawab dan dedikasi. Saya menerima gelaran ini sebagai dorongan untuk terus menyumbang kepada agama, bangsa dan negara dengan lebih tekun dan ikhlas.
“Terima kasih juga kepada keluarga tersayang, rakan-rakan dan semua pihak yang sentiasa memberi sokongan dan doa sepanjang perjalanan ini. Tiada kejayaan yang datang tanpa kerjasama, kepercayaan dan kasih sayang dari insan-insan yang hebat di sekeliling saya.
“Semoga saya terus diberikan kekuatan, kebijaksanaan dan keikhlasan dalam memikul tanggungjawab ini dengan sebaik-baiknya,” tulisnya dalam kenyataan.
Razak yang juga anak kelahiran Pahang mula menceburi bidang seni sebagai pelakon dan penyanyi bermula 1985 dan beliau masih aktif dalam industri sehingga kini.
Beliau pernah membintangi filem seperti Embun, Senario Dalam Pemburu Emas Yamashita, Salam Cinta. Suami Aku Ustaz, Keluarga Iskandar The Movie, Budak Flat, Mak dan banyak lagi.
Manakala dalam drama pula, Razak pernah membintangi Gila-Gila Pengantin, Abadi Sebuah Cinta, Hikayat Putera Shazlan, Geng Surau, Keluarga Baha Don, Ayat-Ayat Halal, Teguh dan banyak lagi. – BH
