JOHOR BAHRU: Johor menjadi negeri pintar pertama di negara ini dan sasaran itu berjaya dicapai lima tahun lebih awal.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, semua 16 pihak berkuasa tempatan (PBT) di Johor telah mencapai sekurang-kurangnya Tahap 1 – Smart City Early Adopter, di bawah Kerangka Bandar Pintar Kebangsaan.
Pengiktirafan Smart City Early Adopter diberikan kepada PBT yang menunjukkan komitmen proaktif melaksanakan inisiatif bandar pintar.
Jafni dalam kenyataan berkata, Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) menjadi PBT pertama di negara ini mencapai Tahap 3 – Leading Smart City, sekali gus dijadikan penanda aras nasional bagi inovasi bandar.
Mencapai Tahap 3 bermaksud MBJB telah melaksanakan pelbagai inisiatif bandar pintar merangkumi pelbagai bidang dan berfungsi sebagai model kepada bandar lain di Malaysia.
Pengiktirafan itu diumumkan secara rasmi semalam, sebagai sebahagian daripada usaha berterusan Johor memperkukuh infrastruktur digital dan pengurusan bandar lestari di seluruh daerah.
Jafni berkata, kejayaan itu hasil usaha bersepadu yang diterajui PlanMalaysia@Johor, dengan sokongan semua PBT, agensi kerajaan, universiti dan sektor swasta.
Antara inisiatif utama termasuk penubuhan Pusat Kawalan Pintar (Smart Command Centre), pemasangan lebih 2,000 kamera litar tertutup (CCTV) pintar di kawasan Greater Johor Bahru, penggunaan sensor kualiti udara di kawasan perumahan dan industri serta pelaksanaan sistem pengurusan trafik, sisa dan keselamatan berasaskan Kecerdasan Buatan (AI).
“Usaha ini mengubah Johor daripada sekadar negeri digital kepada negeri pintar dan lestari sebenar, yang mana teknologi digunakan untuk meningkatkan kualiti hidup dan memperkukuh daya tahan komuniti,” katanya.
Beliau turut berkata, Johor kini memperkukuh agenda Johor Green Deal melalui program Bandar Rendah Karbon, peluasan rangkaian pengecasan kenderaan elektrik (EV), pengurusan bangunan hijau, serta kempen kesedaran awam mengenai gaya hidup mampan.
“Kejayaan Johor sebagai negeri pintar pertama Malaysia melambangkan kejayaan visi Maju Johor, di mana kepimpinan yang cekap, inovatif dan berpaksikan rakyat berjaya menghasilkan keputusan lebih awal daripada jangkaan,” katanya. – Majestic
