MOF saran penerima SARA berbelanja pada hari bekerja, waktu pagi

KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan (MOF) menasihatkan penerima Sumbangan Asas Rahmah (SARA) supaya merancang waktu berbelanja menggunakan wang daripada kerajaan sebanyak RM100.

Menerusi satu poster yang dimuat naik di laman Facebook, kementerian mencadangkan penerima merancang waktu yang sesuai bagi memudahkan urusan mereka.

“(Waktu cadangan) hari Selasa hingga Khamis. Disarankan membeli-belah pada hari bekerja dan waktu pagi,” katanya, hari ini.

Cadangan tersebut dikemukakan susulan gangguan sistem dan keadaan premis terlalu sibuk yang dialami hampir di seluruh negara.

Semalam, MOF dalam satu kenyataan memaklumkan sistem mengalami transaksi mendadak berikutan sambutan tinggi daripada penerima Penghargaan SARA.

Menurut kenyataan itu, situasi berkenaan menyebabkan sistem terminal pembayaran yang dikendalikan melalui rangkaian MyKasih mengalami penurunan prestasi yang ketara di beberapa lokasi.

Kementerian itu turut memohon maaf atas segala kesulitan yang dialami para pengguna dan akan terus memantau pelaksanaan inisiatif ini agar berjalan lancar. – Majestic

More From Author

My Classic Cars Merdeka Charity Drives raikan 100 anak yatim sempena merdeka

Anggota TUDM hilang selepas mandi di Sungai Kedondong