KUALA LUMPUR: Polis kini giat mengesan seorang anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang dilaporkan hilang selepas beriadah bersama rakan-rakannya di Sungai Kedondong, Batang Kali pada 23 Ogos lalu.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad berkata, individu dikenali sebagai Muhammad Ammar Mohd Ariffin, 27, dan kali terakhir dilihat kira-kira pukul 4.30 petang ketika mandi bersama tiga rakannya.
“Pada 24 Ogos kira-kira jam 6 petang, rakan sebilik kursus cuba menghubungi individu ini, namun telefon bimbitnya didapati ditutup.
“Laporan polis dibuat pada 25 Ogos jam 4.16 petang oleh seorang anggota TUDM dari Institut Latihan Pengurusan Material (INSMAT), selepas individu ini tidak melaporkan diri semula untuk kursus,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati Ammar sedang mengikuti Kursus Penyelia Pengangkutan Kenderaan di INSMAT dan bertugas di Pangkalan Udara Subang.
Muhamad Farid menambah, individu terbabit ,empunyai ciri fizikal berkulit cerah, berambut lurus pendek dan berketinggian kira-kira 175 sentimeter.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil ke mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Mohd Sukri Che Mat di talian 03-8076 2222 atau 03-8071 3136. – Majestic
