My Classic Cars Merdeka Charity Drives raikan 100 anak yatim sempena merdeka

KUALA LUMPUR: Kebiasaanya setiap kali tiba hari kemerdekaan, rakyat Malaysia akan menyambut dengan menyertai perarakan yang dianjurkan di hampir setiap negeri termasuk peringkat kebangsaan di Putrajaya.

Namun begitu, lain pula bagi My Classic Cars Merdeka Charity Drives yang mengambil kesempatan meraikan kira-kira 100 orang anak yatim serta tidak bernasib baik pada hari kemerdekaan negara ke-68.

Mereka dibawa bersiar-siar menggunakan kereta klasik sekitar 30 minit – suatu kenangan yang tidak mungkin boleh dilupakan sebelum berkumpul di Kelab Golf Negara Subang.

Penganjur program Rukshan Munesinghe berkata, memegang prinsip tidak mengenal bangsa dan agama sejak 17 tahun lalu, anak-anak ini datang daripada lapan buah rumah kebajikan terpilih yang terletak di sekitar Lembah Klang.

“Mereka adalah anak-anak pada masa hadapan, kebanyakan mereka yang ada di sini anak yatim, ada yang daripada golongan terbiar. Kita cuba bagi peluang untuk mereka merasai kereta klasik.

“Kereta klasik ini adalah hobi dan sekarang sudah menjadi gaya hidup, jadi kita bagi peluang untuk mereka merasa duduk di dalam (kereta klasik).

“Tiap-tiap tahun kita cuba perbaiki, cuba bagi yang terbaik setiap tahun,” katanya menerusi kiriman video yang dihantar kepada Majestic News.

Program anjuran My Classic Cars Merdeka Charity Drives itu merupakan acara tahunan yang dijalankan setiap kali negara menyambut hari kemerdekaan.

Untuk tahun ini, lebih RM40,000 berjaya dikumpulkan hasil sumbangan rakan niaga, pelanggan dan sahabat yang akan diagihkan secara sama rata kepada pusat jagaan yang terlibat.

Penganjur turut merakamkan penghargaan kepada rakan penaja termasuk Selangor Country Club Klang yang menaja lokasi dan sarapan pagi.

More From Author

Rusuhan Indonesia: Bakar masjid pula

MOF saran penerima SARA berbelanja pada hari bekerja, waktu pagi