JAKARTA: Polis sudah menahan seramai 1,240 orang yang dipercayai terlibat dalam tunjuk perasaan bertukar ganas di Jakarta sehingga memusnahkan banyak kemudahan awam.
Ketua Polis Metro Jaya, Inspektur Jenderal Asep Edi Suheri berkata, kebanyakkan daripada mereka yang ditahan berasal dari luar ibu negara Jakarta.
“Kami mahu menjelaskan bahawa sejak insiden berlaku sehingga sekarang, Polis Metro Jaya sudah menahan 1,240 orang penunjuk perasaan.
“Ada di antara mereka berasal dari Jawa Barat, begitu juga Jawa dan sesetengah lagi dari Bantem,” katanya seperti dilapor Liputan 6, hari ini.
Asep menambah, pihaknya turut mengenal pasti beberapa orang berpengaruh terlibat dalam provokasi membakar hentian bas dan kemusnahan kemudahan awam.
“Kami juga sudah mengenal pasti mereka yang bertindak melakukan vandalisme. Kami hanya menunggu masa untuk mengambil tindakan dan menahan mereka.
“Doakan agar semua berjalan lancar,” katanya lagi sambila menegas, semua tindakan ini adalah arahan daripada Presiden Indonesia, Ketua Polis Negara dan ketua angkatan tentera. – AGENSI
