Kerajaan Madani perlu tegas, dakwa, penjarakan penghina Jalur Gemilang, 3R

JOHOR BAHRU: Kerajaan Madani pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu menggubal dasar bagi mewujudkan tindakan  penguatkuasaan tegas terhadap pesalah yang menghina kedaulatan negara serta pesalah 3R (kaum, agama  dan raja).

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Mohd. Hairi Mad Shah menegaskan, dasar itu amat perlu kerana kesalahan sedemikian jelas mencabar kedaulatan, keharmonian dan perpaduan negara, termasuk kesalahan menggantung atau mengibarkan Jalur Gemilang secara terbalik yang dilihat berlaku peningkatan ketika ini.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Mohd. Hairi Mad Shah

“Peningkatan kes ini bukan sahaja menjejas keharmonian, malah berpotensi mencetus ketegangan antara kaum dan agama serta mengundang penghinaan terhadap institusi Raja. Jalur Gemilang pula adalah lambang maruah bangsa yang wajib dipertahankan.

“Justeru, saya gesa kerajaan Madani merangka atau menggubal dasar penguatkuasaan tegas seperti lucut kerakyatan atau penjara sehingga 20 tahun atau sebatan sehingga 20 kali,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Mohd. Hairi yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO yakin hanya undang-undang tegas dapat memastikan tiada mana-mana pihak mempermainkan isu sensitif sedemikian pada masa depan.

“Ini bukan soal politik, tetapi soal mempertahankan keharmonian, kestabilan dan maruah Malaysia. Perbuatan biadab ini adalah racun yang menghakis perpaduan.

“Sehubungan itu, saya menyokong penuh keputusan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO malam tadi yang memandang serius kesalahan berulang dalam isu pemasangan dan pengibaran Jalur Gemilang.

“Tindakan tegas dan keras termasuk pendakwaan mesti dilakukan ke atas sesiapa sahaja yang melakukan kesalahan ini tanpa mengira apa jua alasan sebagaimana peruntukan undang-undang yang sedia ada,” tegasnya. – Majestic

More From Author

SPRM reman 10 individu termasuk pegawai kanan ATM disyaki terlibat kegiatan menyeludup

Ramai ahli UMNO bakal dipecat?