KUALA LUMPUR: Seramai 10 individu ditahan reman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki terlibat dalam sindiket penyeludupan yang beroperasi di selatan tanah air.
Mereka termasuk lima pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), dua wartawan agensi media atas talian, seorang pengurus syarikat, pembantu pentadbiran di Malaysian Medical Association (MMA) dan wanita warga asing.
Empat suspek lelaki direman tujuh hari sehingga 20 Ogos 2025, dua lelaki dan seorang wanita direman selama lima hari sehingga 18 Ogos 2025, manakala dua lelaki dan seorang wanita warga Indonesia direman selama tiga hari sehingga 16 Ogos 2025.
Perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya, pagi tadi.
Menurut sumber, lima pegawai kanan tentera dan lima orang awam berusia lingkungan 30 sehingga 55 tahun itu ditangkap di sekitar Lembah Klang menerusi Op Sohor dijalankan Bahagian Perisikan SPRM dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada Rabu.
“Pegawai-pegawai kanan perisikan tentera tersebut dipercayai bersubahat dan membocorkan maklumat-maklumat operasi kepada sindiket penyeludupan bagi mengelakkan sindiket terbabit daripada dikenakan tindakan.
“Barang seludup yang dibawa masuk ke negara ini terdiri daripada dadah serta rokok dan barang-barang lain dari negara-negara jiran yang melibatkan nilai barangan seludup kira-kira RM5 juta sebulan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sumber berkata, hasil risikan selama 12 bulan mendapati, sindiket dipercayai membayar rasuah antara RM30,000 hingga RM50,000 kepada pegawai kanan tentera setiap kali menyeludup masuk barangan dan rangkaian penglibatan pegawai-pegawai kanan tentera terbabit di dalam sindiket tersebut adalah besar serta kompleks.
Katanya, dalam operasi pada Rabu itu, SPRM turut menemui sejumlah wang tunai lebih RM63,000, beberapa bungkusan dipercayai dadah, alat penimbang dan penyukat, minuman keras serta senjata api tiruan.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Saiful Ezral Arifin ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan dan berkata kes disiasat berkaitan jenayah rasuah dan aktiviti penggubahan wang haram. – Majestic
