Heung Min sertai LAFC dalam rekod perpindahan MLS

LOS ANGELES: Pemain antarabangsa Korea Selatan, Son Heung Min semakin pasti menandatangani kontrak bersama kelab Major League Soccer (MLS), Los Angeles FC (LAFC), dengan majlis pengenalan dijangka berlangsung seawal esok, menurut sumber yang disahkan kepada ESPN.

Heung Min, 33, mengumumkan pemergiannya dari kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Tottenham Hotspur hujung minggu lalu, menamatkan tempoh 10 tahun bersama kelab London itu, walaupun ketika itu dia tidak menyatakan destinasi berikutnya.

Namun sumber mengesahkan Heung Min akan menyertai LAFC dengan yuran perpindahan sekitar AS$26 juta (RM110 juta) – jumlah yang akan memecahkan rekod perpindahan MLS ketika ini – AS$22 juta (RM93 juta) yang dibayar oleh Atlanta United untuk mendapatkan penyerang Emmanuel Latte Lath pada musim sejuk lalu.

Heung Min beraksi perlawanan terakhirnya bersama Spurs pada Ahad lalu di Seoul pada aksi persahabatan pramusim menentang Newcastle United yang berakhir seri 1-1.

Dia menerima tepukan gemuruh dan barisan kehormatan daripada kedua-dua pasukan semasa dikeluarkan pada separuh masa kedua.

Dia memberitahu laman sesawang rasmi Spurs: “Ia satu detik yang sempurna. Berkongsi momen indah ini adalah sesuatu yang tidak akan saya lupakan dan saya akan sentiasa menghargainya – daripada penyokong, rakan sepasukan dan juga jurulatih.

“Beliau memahami situasi saya dan sentiasa menyokong saya. Beliau selalu mendengar dan bertanya apa yang saya mahu lakukan. Saya amat menghormati dan sangat berterima kasih.”

ESPN melaporkan pada Jun 2023 Heung Min pernah menerima tawaran lumayan daripada kelab Arab Saudi, Al-Ittihad namun ketika itu dia memilih untuk kekal bersama Tottenham.

Kini, LAFC berjaya menewaskan Al-Ittihad dalam mendapatkan tandatangan pemain itu.

Kejayaan Tottenham menewaskan Manchester United pada final Liga Europa memberikan Heung Min peluang untuk merangkul trofi pertamanya bersama kelab itu, selepas menjadi hanya pemain ketujuh dalam sejarah Spurs yang mencapai 450 penampilan, dengan 198 sumbangan gol EPL sejak berpindah dari Bayer Leverkusen pada tahun 2015 dengan yuran £22 juta (RM123 juta).

Heung Min akan menyertai skuad LAFC yang kini berada di tangga keenam Western Conference MLS.

GiveMeSport adalah pihak pertama yang melaporkan mengenai perpindahan Heung Min serta butiran kewangannya. – AGENSI

More From Author

Kejutan manis Daiyan Trisha

‘Saya baru dapat kumpul RM32,000 daripada setengah juta’ – Pelajar derita kanser tahap 4