Bekas pengarah didakwa makan suap RM4,000

JOHOR BAHRU: Bekas Pengarah Belia dan Sukan Negeri Melaka didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM4,000, dua tahun lalu.

Walau bagaimanapun, Khairul Adri Rosli, 51, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Dia didakwa menerima wang berjumlah RM4,000 daripada wakil sebuah syarikat kontraktor menerusi akaun syarikat ke dalam akaun seorang wanita yang mempunyai hubungan dengan tugas rasminya berkaitan kerja-kerja membina pondok pengawal di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Melaka berjumlah RM49,950 menerusi dua bank berbeza di Tampoi dan Permas Jaya pada 6 Januari dan 16 Februari 2023.

Dia didakwa di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Siti Asmah Zainal Ariffin mencadangkan jaminan sebanyak RM7,000 bagi kedua-dua pertuduhan, namun peguam bela tertuduh, Nurashidah Md. Razip merayu supaya jumlah itu dikurangkan kerana anak guamnya turut berdepan lima pertuduhan di Mahkamah Sesyen Melaka pada 17 Jun lalu yang menetapkan wang jaminan RM20,000 bagi kesemua pertuduhan.

Ahmad Kamal Arifin kemudian membenarkan tertuduh diikat  jamin sebanyak RM6,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin warga tempatan.

Mahkamah menetapkan 29 Ogos ini sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen. – Majestic

More From Author

Teruja suluh durian gugur tengah malam

Pengumuman biasa saja, ingin kendurkan momentun demo – PAS