KULAI: Pemandu dan 22 penumpang cedera ringan apabila bas dinaiki mereka terbabas ke dalam longkang di Jalan Perindustrian Senai 4 di sini, pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, kesemua mangsa dibawa ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim (HTSMTI) bagi mendapatkan rawatan.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu bas iaitu seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun hilang kawalan ketika keluar dari simpang ke sebelah kiri.
“Bas kemudian terbalik ke dalam longkang di sebelah kanan menyebabkan pemandu dan 22 pekerja warga asing berusia antara 25 hingga 30 tahun turut mengalami kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Kes disiasat di bawah Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Majestic
