JOHOR BAHRU: Ranhill SAJ Sdn . Bhd., menyifatkan semakan tarif air adalah wajar bagi memastikan keterjaminan bekalan yang bersih, selamat dan mampan demi kesejahteraan kehidupan pengguna.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Anuar Abdul Ghani berkata, pelarasan tersebut akan dirangka dengan penuh teliti agar tidak membebankan sebahagian besar pengguna.
Beliau memaklumkan Ranhil SAJ dan sembilan operator air di Semenanjung Malaysia telah mengemukakan permohonan pelarasan tarif air kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), baru-baru ini.

“Kami menyokong penuh pelarasan tarif air sedia ada kerana tanpanya, langkah ke arah sistem pembekalan air yang stabil akan pincang. Permohonan dibuat setelah kajian terperinci serta proses libat urus dengan semua pemegang taruh, termasuk kepuasan pelanggan.
“Usaha naik taraf berterusan perlu dilakukan untuk memastikan pembekalan air Johor berada dalam keadaan terbaik. Ini penting bagi menghadapi cabaran seperti pertumbuhan penduduk, kepesatan pembangunan, kestabilan dan mengoptimumkan keupayaan pembekalan sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Anuar berkata, pelarasan merupakan pelaburan bagi memastikan pengguna sedia ada serta generasi akan datang tidak berdepan kesukaran mendapatkan bekalan air berkualiti.
“Bagi tempoh beberapa tahun akan datang, Ranhill SAJ dijangka membelanjakan RM3 bilion bagi pembiayaan naik taraf, memodenkan loji rawatan air dan mengganti paip lama.
“Peruntukan turut diguna untuk memperluaskan infrastruktur bagi menampung permintaan sedia ada dan baharu serta melaksanakan sistem pintar untuk meningkatkan kecekapan dan mutu perkhidmatan,” katanya sambil menegaskan Ranhill SAJ komited untuk terus membantu golongan yang memerlukan, termasuk menyediakan rebat khas kepada kumpulan rentan. – Majestic
