SEPANG: Humanitarian Care Malaysia (MyCare) mengadakan Misi Kemanusiaan Afghanistan 2025 selama 10 hari bermula semalam.
Objektif misi kali ini untuk membantu pendidikan anak-anak mangsa konflik yang terjejas susulan pencerobohan Amerika Syarikat dan sekutunya di negara berkenaan.
Penasihat MyCare Johor, Dr. Mohd. Zin Kandar berkata, misi bantuan kemanusiaan itu memberi fokus di beberapa kawasan di sekitar Kabul, ibu negara Afghanistan, Herat bandar sempadan Afghanistan-Iran dan beberapa kawasan lain yang kini dikuasai oleh pejuang Taliban selepas beberapa dekad diceroboh oleh beberapa kuasa besar ketenteraan dunia.
Menurutnya, bantuan keseluruhan lebih RM1 juta akan disalurkan kepada pelbagai kategori penerima dalam misi yang dilaksanakan dengan kerjasama sebuah badan bukan kerajaan (NGO) di Afghanistan, iaitu Human Assistance Society (HAS).
Bantuan berkenaan adalah sebahagian daripada sumbangan rakyat Malaysia yang dikutip menerusi tabung bantuan yang disediakan oleh Econsave Cash & Carry Sdn. Bhd., iaitu rakan strategik utama MyCare di lebih 104 premisnya di seluruh negara.
“Selain pembinaan sekolah, beberapa bantuan lain akan turut disampaikan termasuk projek pemerkasaan ekonomi rakyat Afghanistan menerusi pemberian bantuan peralatan dan kewangan bagi memulakan aktiviti yang menjana pendapatan tetap,” katanya ketika majlis pelepasan Misi Kemanusiaan Afghanistan MyCare-Econsave 2025 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam.
Sementara itu, Pengurus Besar Econsave, Mas Imran Adam yang turut menyertai misi tersebut memberitahu, pihaknya akan membantu membina sekolah untuk anak-anak Afghanistan yang dilengkapi pelbagai kemudahan pembelajaran dan pengajaran melibatkan kos lebih RM500,000.
“Perletakan batu asas projek pembinaan sekolah untuk anak Afghanistan itu akan disempurnakan pada misi kali ini di suatu kawasan yang sudah dikenal pasti di Kabul sebelum kerja pembinaan bermula dan disiapkan,” katanya.
Justeru, beliau merayu rakyat supaya terus menghulurkan sumbangan menerusi tabung bantuan yang ditempatkan di semua premis Econsave di seluruh negara, bagi membantu meringankan beban yang ditanggung mangsa. – Majestic
