ISKANDAR PUTERI: Bangkai helikopter milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terhempas di Sungai Pulai, Gelang Patah minggu lalu berjaya diapungkan pagi ini.
Pesawat jenis AS355N itu berjaya diapungkan kira-kira pukul 11 pagi.
Bangkai helikopter itu kemudiannya dibawa naik di atas kapal kren 15 minit kemudian.
Operasi menaikkan bangkai pesawat tersebut bermula pukul 8 pagi.

Operasi tersebut disertai pegawai dan anggota pelbagai agensi termasuk Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Keselamatan Awam (JKDNKA), Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Pasukan Polis Marin (PPM), Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), Lembaga Pelabuhan Johor (LPJ) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Dalam insiden pukul 10.25 pagi Khamis lalu, helikopter yang menyertai Latih Amal Pelbagai Hala Sekuriti Nuklear Malaysia, Indonesia, Thailand dan Singapura 2025 (MITSATOM 2025) terhempas ke dalam Sungai Pulai.
Kejadian itu menyebabkan dua kru, Koperal Adeline Liu Yan Sin dan Konstabel R.G Devendran mengalami kecederaan parah dan berada dalam keadaan kritikal.
Juruterbangnya, Asisten Komisioner Faizul Muhammad, pembantu juruterbang, Superintenden Ahmad Bustamin Baharom serta Sarjan Siti Latipa Khairuddin mengalami kecederaan. – Majestic
