KUALA LUMPUR: Sebuah kedai makan diusahakan warga Pakistan di Jalan Sultan Azlan Shah, di sini, diserbu pihak berkuasa kerana beroperasi menggunakan pekerja asing tanpa permit.
Ketika serbuan kira-kira jam 10.30 malam tadi, pemilik premis dan dua pekerja sedang sibuk menyiapkan pesanan pelanggan tanpa menyedari kehadiran pegawai dan anggota Jabatan Imigresen.
Lelaki Pakistan berusia lingkungan 30-an berkenaan mengakui kedai terbabit mempunyai permit di bawah nama isterinya, namun gagal mengemukakan permit kerja bagi pekerja yang juga warga Pakistan digajikannya.
Keadaan bertukar kecoh apabila lelaki terbabit mula panik, menangis dan meraung ketika dibawa ke atas lori Jabatan Imigresen.
“I want die (say mahu mati), I am not a criminal (saya bukan penjenayah),” teriaknya berulang-ulang kali dan drama itu berterusan apabila isterinya tiba di lokasi dan cuba berunding dengan pegawai supaya melepaskan suaminya itu.
Wanita berusia 20-an itu tiba sambil mendukung anak yang masih kecil dan cuba meminta pegawai Jabatan Imigresen melepaskan suaminya dengan alasan lelaki itu memiliki visa pasangan Malaysia dan mereka juga mempunyai anak masih kecil. – BH
