Himpunan pembangkang: Polis terima 4 laporan, siasat aksi sebat patung mirip PM

KUALA LUMPUR: Polis menerima empat laporan berkaitan himpunan pembangkang yang berlangsung di ibu negara, kelmarin.

Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad, berkata satu daripada laporan itu berkaitan insiden aksi menyebat patung menyerupai Perdana Menteri di kawasan Masjid Negara.

Menurut beliau, siasatan menyeluruh sedang dijalankan terhadap individu yang dikenal pasti terbabit, termasuk peserta yang hadir dalam perhimpunan berkenaan.

“Satu laporan polis diterima membabitkan penggunaan patung mirip Perdana Menteri dan melakukan aksi menyebatnya di kawasan Masjid Negara.

“Kes itu sedang disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan, Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini.

Sementara itu, katanya tiga lagi laporan polis diterima berhubung penggunaan dron ketika perhimpunan itu sudah dirujuk kepada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) untuk tindakan lanjut.

“Pada hari kejadian, kita pertingkatkan kawalan keselamatan dan tidak benarkan sebarang dron berlegar di kawasan orang ramai kerana kita bimbang ia disalah guna untuk tujuan sabotaj atau ambil gambar tanpa kebenaran,” katanya.

Beliau berkata walaupun perhimpunan berkenaan dibenarkan oleh undang-undang, polis akan tetap menjalankan siasatan jika terdapat sebarang salah laku dilakukan oleh peserta perhimpunan.

Ketika ditanya berkenaan kewujudan kegiatan penyebaran risalah berunsur ekstrem semasa perhimpunan itu, Mohamed Usuf berkata pihaknya tidak menerima sebarang maklumat atau laporan berhubung perkara itu.

“Setakat ini tiada laporan polis diterima, namun jika ada aduan atau laporan dibuat, kita akan jalankan siasatan,” katanya.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, sebelum ini mengesahkan tiada sebarang tangkapan dibuat berhubung himpunan pembangkang yang dihadiri anggaran 18,000 peserta di ibu negara, hari ini. – BH

More From Author

Kedai makan Pakistan diserbu, guna pekerja asing tanpa permit

PBT tidak pernah benar warga asing mohon, miliki lesen perniagaan – Kor Ming