PASIR MAS: Kesukaran hidup ditanggung ibu tunggal yang menghidap kanser payudara hingga hilang punca pendapatan memaksa wanita itu dan empat anaknya, termasuk seorang orang kurang upaya (OKU) mencatu makanan setiap hari.
Zarini Ibrahim, 45, yang kini dalam rawatan kemoterapi selepas disahkan menderita penyakit itu dua bulan lalu, mengakui buntu untuk menyediakan makan dan minum empat anak berusia sembilan hingga 18 tahun yang masih bersekolah, termasuk seorang OKU lembam.
Bagaimanapun, dia yang kini berulang-alik ke Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II di Kota Bharu untuk rawatan kemoterapi, bersyukur masih ada rezeki dikongsi saudara-mara dan adik-beradik walaupun terpaksa mencatu makanan bagi memastikan anak dapat mengisi perut.
Tanpa kenderaan sendiri, wanita itu terpaksa meminta bantuan keluarga untuk menghantar dan mengambilnya di hospital.
“Sudah dua tahun saya pikul tanggungjawab sebagai ibu tunggal, namun sebelum ini kami masih dapat menjalani kehidupan seperti biasa kerana saya bekerja sebagai tukang sapu di sebuah sekolah di Pasir Mas.
“Bagaimanapun, kesihatan saya merosot terutama selepas menjalani kemoterapi menyebabkan saya hilang punca pendapatan. Dengan simpanan agak terhad, saya sekarang berhadapan kesukaran hidup.
“Kini, tiada lagi juadah ayam setiap hari sebaliknya hanya ikan yang dipotong dua, selain telur yang perlu dibahagikan sama rata. Namun saya bersyukur masih ada rezeki buat kami,” katanya ketika ditemui di rumah sewa miliknya di Kampung Belukar, di sini hari ini.
Penderitaan keluarga itu mendapat perhatian pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Thirdforce di bawah Yayasan Raja Shamri, Tuan Zaimah Raja Omar yang hadir menyampaikan bantuan kewangan dan keperluan asas selain memberi kata-kata semangat.
Jelas Zarini, lebih membimbangkan apabila doktor memaklumkan dia mungkin perlu menjalani pembedahan membuang payudara yang memerlukan masa agak lama untuk kembali pulih.
“Jujur saya tiada tempat bergantung, tetapi perlu kuat demi anak-anak, termasuk anak sulung yang istimewa, Muhamad Adam Fitri Mohd Kamarulzaman, 18. Saya tidak boleh bayangkan nasib mereka andai Tuhan ambil nyawa saya.
“Saya masih cuba mencari kerja sesuai dengan kemampuan seperti mencuci pinggan atau pembantu kedai runcit asalkan dapat cari wang demi anak. Alhamdulillah, YRS membantu saya mohon bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan kini dalam proses untuk diluluskan,” katanya.
Tambah Zarini, emosi anak-anak juga terganggu terutama anak bongsu, Muhamad Aidil Umar, 9, kerana melihat perubahan fizikalnya dengan berat badan susut selain keguguran rambut akibat kemoterapi. – BH
