KUALA LUMPUR: Bekas penjaga gol Johor Darul Ta’zim (JDT), Izham Tarmizi Roslan mendedahkan tidak pernah menyesal menghabiskan sebahagian besar kariernya bersama kelab yang mendominasi liga bola sepak Malaysia itu.
Hal ini kerana, jelasnya, dengan menyertai skuad Harimau Selatan, beliau mempelajari banyak perkara berkaitan bola sepak termasuk kehidupan yang boleh digunakan untuk kelangsungan pada masa hadapan.
“Sebab apa nak cakap menyesal? Sebab dekat JDT lah saya belajar banyak benda. (Cakap orang) kau tak dapat main, tengok bakat kau dah sia-sia dekat JDT.
“Saya tak pernah terfikir pun benda itu sebenarnya. Kenapa saya nak kena fikir pasal saya tak diberi peluang bermain.
“Contoh rezeki kau nak main first eleven banyak ini sahaja tapi pengalaman yang kita dapat itu berbeza bukan semua (kelab) boleh bagi macam yang dapat dekat JDT.
“Pengalaman yang awak dapat, apa tunjuk ajar dekat sini, apa yang boleh awak praktik untuk masa akan datang,” katanya dalam sedutan video pada sesi live di akaun TikTok beliau.
Pada masa sama, Izham yang menjadi antara 11 orang pemain diumumkan tidak lagi bersama JDT pada musim depan menegaskan, tiada istilah ‘peram’ di kelab tersebut dan pemain perlu bersaing untuk mendapatkan tempat.
“Ada orang cakap JDT ambil player lepas itu peram. Tak awak masuk sini awak kena fight, awak tak boleh (rileks) walaupun nama awak besar dekat luar.
“Awak datang JDT awak nak duduk ingat awak dapat first eleven, silaplah fikiran macam itu. Awak masuk JDT awak kena fight,” katanya lagi. – Majestic
