Talita anak baik, tiada niat sebut ‘woi’ – Watie

KUALA LUMPUR: Isteri pelawak Shuib, iaitu Watie Hanifiah menjelaskan video tular memaparkan anak tiri, Talita menyebut ‘woi’ ketika memanggilnya sebagai salah faham dan berlaku secara spontan.

Watie atau nama sebenar, Fati Nikmatul Adawiyah Hanifiah, 35, berkata situasi itu tidak sepatutnya dijadikan nilaian sikap sebenar remaja itu.

“Mungkin dia pun kelam kabut melayan penonton pada sesi langsung dan muzik ketika itu kuat, Talita tak perasan apa yang dia cakap.

“Saya hidup dengan Talita. Saya kenal dia dan saya tahu dia bukan anak yang kasar,” katanya ditemui pada majlis penyerahan sumbangan bersama Yayasan Nurjiwa anjuran Inayah Beauty di sini, hari ini.

Gara-gara tular klip video itu, sikap Talita atau nama sebenar, Dzahira Talita Zahra, 12, menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan netizen. Aksi Talita disifatkan netizen sebagai tidak menghormati ibu tirinya.

Watie berkata, seperti ibu lain, dia menegur anak-anak jika mereka membuat kesalahan. Namun, Talita dilihat sebagai anak yang tidak banyak karenah.

“Tentulah saya tegur jika mereka buat silap, bergantung kepada situasi. Tapi dalam hal baru-baru ini, saya tahu dia memang tidak berniat.

“Lagipun Talita bukan jenis yang biadap atau cakap kasar. Kalau saya membebel atau tegur, dia tidak akan menjawab. Paling-paling pun dia hanya menitiskan air mata,” kata Watie.

Watie berkata, dia sudah berbincang dengan Talita sejurus klip video itu tular kerana tidak mahu hati anak remajanya itu terguris dengan kecaman netizen.

“Saya kena terus terang dengan dia. Saya tidak mahu dia fikir saya sengaja muat naik video itu hingga dia dikecam.

“Saya juga pujuk dia. Saya kata orang luar tak kenal dia macam mana. Saya lebih tahu dia siapa.

“Alhamdulillah, saya tengok dia tenang dan tidak tertekan,” katanya.

Talita adalah anak kedua Shuib dengan Allahyarham Siti Sarah Raissuddin.

Shuib dan Watie bernikah pada 23 Jun 2023. – BH

More From Author

Pasar Siti Khadijah di Kota Bahru bakal berwajah baharu

Bakat sia-sia? Izham Tarmizi tak pernah menyesal bersama JDT