Pegawai tentera maut nahas dengan lori simen

ALOR GAJAH: Seorang pegawai tentera maut selepas kereta Perodua Myvi dipandunya terbabit kemalangan dengan lori membawa muatan simen di Jalan Masjid Tanah, Kampung Solok Duku, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.40 pagi itu, mangsa berusia 24 tahun tersepit dalam kenderaan yang remuk dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Melaka, Timbalan Penguasa Bomba II Mohd Hafidzatullah Rashid, berkata pihaknya menerima panggilan daripada orang awam berhubung kejadian itu jam 3.42 pagi.

Katanya, sepasukan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Masjid Tanah dikejarkan ke lokasi dan tiba lima minit kemudian.

“Pasukan keluaran operasi berjaya mengeluarkan mangsa lelaki yang tersepit di tempat duduk pemandu jam 4.11 pagi.

“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan bertugas dan diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya dihubungi di sini.

Beliau berkata, pasukan bomba turut melakukan operasi membersihkan sisa kemalangan di tempat kejadian dan operasi tamat sepenuhnya jam 6.57 pagi. – BH

More From Author

Bakat sia-sia? Izham Tarmizi tak pernah menyesal bersama JDT

Derma darah waktu malam dapat sambutan