63 lokasi rekod bacaan IPU sederhana

KUALA LUMPUR: Sebanyak 63 daripada 68 stesen pengawasan kualiti udara di seluruh negara merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tahap sederhana, pagi ini.

Data itu berdasarkan semakan BH menerusi laman sesawang Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara (APIMS), Jabatan Alam Sekitar (JAS) setakat jam 9.15 pagi ini.

Antara kawasan yang merekodkan bacaan IPU sederhana termasuk Tanjung Malim di Perak, 81; Kuching, Sarawak (97); Johan Setia, Selangor (87); Nilai, Negeri Sembilan (77); Kuala Terengganu, Terengganu (75); Kluang, Johor (71); Kota Kinabalu, Sabah (65) dan Jerantut, Pahang (64).

Selain itu, sebanyak empat kawasan lain mencatatkan bacaan IPU tahap baik termasuk Langkawi (42) dan Kulim Hi-Tech (48) di Kedah; Kangar, Perlis (43) dan Balik Pulau, Pulau Pinang (46).

Menurut APIMS, IPU 0 hingga 50 dikategorikan sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (berbahaya).

Berdasarkan semakan data dikeluarkan APIMS, kualiti udara tempatan menunjukkan pemulihan yang baik.

Sebelum ini, media melaporkan jerebu rentas sempadan didapati sedang melanda beberapa negeri pantai barat Semenanjung Malaysia.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip, dipetik berkata laporan dikeluarkan ASEAN Specialized Meteorological Centre (ASMC) mendapati terdapat 79 titik panas di kawasan Sumatera.

Mohd Hisham berkata, ia berkemungkinan menjadi punca keadaan berjerebu di negara ini yang dibawa oleh tiupan angin barat daya.

Orang ramai boleh merujuk laman sesawang APIMS untuk mengetahui tahap IPU terkini. – BH

More From Author

Lagi kes buli di MRSM, enam pelajar Tingkatan 5 digantung sekolah

Ramai belia Perak terjebak dadah