MUNICH: Paris Saint-Germain (PSG) menamatkan badi menjulang trofi Liga Juara-Juara Eropah (UCL) selepas mengalahkan Inter Milan 5-0 dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Allianz Arena, Munich awal pagi tadi.
Jaringan pertama Achraf Hakimi pada minit ke-12 menjadi pembuka tirai kepada malam gemilang PSG.
Désiré Doué kemudian menjaringkan dua gol untuk mengukuhkan cengkaman Les Parisiens ke atas perlawanan.
Gol daripada Khvicha Kvaratskhelia dan jaringan penutup oleh Senny Mayulu mengesahkan kemenangan penuh bersejarah kelab Perancis itu.
Kejayaan PSG ini hadir selepas melabur besar untuk memburu kejuaraan Eropah dengan membawa masuk bintang ternama seperti Lionel Messi, Neymar, Zlatan Ibrahimovic dan Kylian Mbappé.
Namun, perubahan dasar pengurusan yang mula memberi tumpuan kepada pembangunan pemain muda dua tahun lalu akhirnya membuahkan hasil.
PSG kini menjadi kelab kedua Perancis yang berjaya menjulang Piala Eropah selepas Olympique Marseille pada tahun 1993.
Kejayaan ini turut menambah koleksi kejuaraan peribadi buat pengendali mereka, Luis Enrique, yang sebelum ini pernah membawa Barcelona menjuarai kejohanan yang sama pada tahun 2015. – AGENSI
