KUALA LUMPUR: Ejen nikah tidak bertauliah yang berleluasa di sempadan utara negara, dikesan menjadi antara punca penyelewengan dan salah guna kuasa membabitkan pegawai Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) yang pernah dibongkar oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
SPRM berkata, situasi itu menyebabkan berlakunya salah laku oleh pihak tertentu, termasuk kakitangan awam yang mahu mendapatkan keuntungan mudah melalui sindiket perkahwinan negara.
BH difahamkan, peraturan dan arahan yang lemah turut memudahkan pihak tidak bertanggungjawab memanipulasikan situasi berkenaan bagi mengaut keuntungan peribadi dalam isu pernikahan terbabit.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM (Pencegahan), Datuk Azmi Kamaruzaman, berkata dalam isu berkenaan, pihaknya mengesan beberapa kelemahan tatakelola membabitkan Pengurusan Pendaftaran Perkahwinan Luar Negara yang dilaksanakan JAIPs.
Beliau berkata, agensi agama itu perlu bertindak segera menutup ruang dan peluang perlakuan jenayah rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan.
“Berhubung isu kelemahan membabitkan Pengurusan Pendaftaran Perkahwinan Luar Negara, antara pengesyoran yang dikemukakan SPRM ialah mewujudkan arahan, peraturan atau larangan kepada mana-mana individu atau syarikat yang menjalankan perkhidmatan ejen pendaftaran perkahwinan luar negara tanpa kebenaran atau kelulusan dari JAIPs.
“Ia bertujuan mengekang pihak tertentu daripada mengaut keuntungan peribadi melalui penyediaan dokumen dan maklumat palsu serta gagal mematuhi prosedur yang ditetapkan,” katanya kepada BH.
Mengulas lanjut, Azmi berkata, pihaknya juga sudah mengadakan sesi pembentangan penambahbaikan tatakelola bagi memperbaiki kelemahan dan amalan JAIPs.
Katanya, selain isu pendaftaran perkahwinan, SPRM juga mengesan kelemahan dalam isu Pengurusan Pendaftaran dan Pembayaran Elaun Saguhati kepada Saudara Baru (mualaf).
“Antara cadangan penambahbaikan yang disyorkan ialah mewujudkan garis panduan yang komprehensif selaras dengan kehendak Enakmen Pentadbiran Agama Islam 2006 Undang-Undang Negeri Perlis.
“Pewujudan garis panduan ini penting bagi memastikan proses kerja dilaksanakan secara telus dan teratur untuk mengelakkan perlakuan rasuah, salah guna kuasa, penyelewengan dan penipuan,” katanya.
Mengulas mengenai perbincangan memperbaiki tatakelola JAIPs, Azmi berkata, sebanyak 12 cadangan penambahbaikan dikemukakan kepada jabatan itu ketika sesi pembentangan berkenaan.
“Ia sebagai usaha untuk memperkukuhkan sistem tadbir urus yang berintegriti, sekali gus menutup ruang dan peluang perlakuan jenayah rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan,” katanya.
Beliau berkata, pembentangan penambahbaikan tatakelola ini adalah proses menasihati ketua badan awam atau swasta melalui kaedah rundingan berkaitan cadangan penambahbaikan dalam amalan, sistem dan tatacara.
“Ia bertujuan menutup ruang dan peluang berlaku risiko serta jenayah rasuah selaras dengan Seksyen 7(c), (d) dan (e), Akta SPRM 2009 (Akta 694),” katanya.
Isu rasuah dan salah laku membabitkan JAIPs berlaku tahun lalu, selepas SPRM menahan tiga individu iaitu pegawai kanan JAIPs, imam sebuah masjid di Kangar dan anaknya yang juga pemilik syarikat yang mengendalikan pendaftaran pernikahan di negeri itu.
Tahun ini, media melaporkan, seorang bekas Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pentadbiran Undang-Undang Syariah JAIPs berdepan tujuh pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan nilai lebih RM300,000 pada 2022, 2023 dan 2024. – BH
