KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk menyelaras bantuan kepada keluarga mangsa kemalangan yang mengorbankan 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), awal pagi tadi.
Katanya, musibah sebegini sering berulang dan seharusnya menjadi pengajaran buat semua agar sentiasa berhati-hati serta usah terburu-buru mengejar destinasi.
“Nyawa kalian terlalu berharga dan tiada galang ganti,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Pada masa sama, Perdana Menteri dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail turut menzahirkan ucapan takziah kepada semua keluarga mangsa dan mendoakan mereka diberikan kekuatan dan ketabahan menghadapi dugaan ini.
“Saya dan Azizah amat berdukacita menerima perkhabaran nahas tragis awal pagi tadi berhampiran Gerik yang melibatkan sebuah bas dan beberapa kenderaan lain, mengorbankan 15 pelajar,” katanya lagi.
Dilaporkan sebuah bas yang membawa pelajar UPSI terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Banun, Gerik, menyebabkan bas berkenaan terbalik.
Difahamkan bas yang membawa pelajar UPSI itu dalam perjalanan dari Jertih, Terengganu ke Tanjung Malim, Perak. – MN
