Peluang Harimau Malaya tamat badi 10 tahun

KUALA LUMPUR: Aksi kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Selasa depan dianggap sebagai peluang terbaik buat Harimau Malaya menamatkan badi tanpa kemenangan selama 10 tahun ke atas Vietnam.

Ia berdasarkan perkembangan positif yang ditampilkan anak buah Peter Cklamovski ketika mengikat pasukan ranking 72 dunia, Cape Verde 1-1 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Khamis lalu selain memiliki kelebihan beraksi di gelanggang sendiri.

Tuah Stadium Nasional diharap memihak kepada Harimau Malaya kerana kemenangan dalam perlawanan itu akan membuka peluang lebih cerah buat skuad negara untuk memburu slot ke pusingan akhir Piala Asia 2027 di Arab Saudi.

Bekas pengendali skuad kebangsaan, Wan Jamak Wan Hassan menjelaskan Harimau Malaya tidak boleh melepaskan peluang terbaik untuk meraih mata penting yang akan menentukan hala tuju pasukan negara dalam Kumpulan F.

Jurulatih berpengalaman itu bagaimanapun menegaskan skuad Cklamovski tetap perlu berwaspada meskipun Harimau Malaya dilihat memiliki sedikit kelebihan dari segi bermain di tempat sendiri.

“Saya tengok ada peningkatan ditampilkan Harimau Malaya ketika menentang Cape Verde termasuk dari segi corak permainan. Perlawanan itu positif untuk pasukan negara dan kita boleh mengukur sejauh mana pasukan untuk menentang Vietnam.

“Dalam bola sepak peluang sentiasa ada, namun kita kena lihat perlawanan itu dengan lebih berhati-hati kerana ia pusingan kelayakan dan kita akan bermain di tempat sendiri. Jadi peluang itu perlu diambil dengan sebaik-baiknya.

“Harimau Malaya perlu harap penyokong dapat memenuhi stadium yang mana ia menambah semangat kepada pemain kita. Ini juga peluang untuk pemain ke-12 Harimau Malaya membantu pasukan meraih kemenangan,” katanya kepada BH Sukan.

Kali terakhir Malaysia mengalahkan Vietnam adalah ketika mencipta kemenangan 4-2 dalam aksi separuh akhir Piala AFF pada Disember 2014, namun selepas itu skuad negara hanya seri sekali dan tewas tujuh kali dalam lapan pertembungan dengan pasukan ranking 109 dunia itu.

Harimau Malaya yang menewaskan Nepal 2-0 dalam aksi pertama pada Mac lalu berada di kedudukan kedua Kumpulan F, terikat tiga mata bersama pasukan tangga teratas, Vietnam yang membelasah Laos 5-0. – BH

More From Author

‘Tiga Abdul’ moden

CUEPACS setuju dengan titah Agong, penjawat awam mesti bebas pengaruh politik