KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) bersetuju dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim tentang penjawat awam mesti bebas daripada pengaruh parti politik.
Presidennya, Datuk Dr Adnan Mat berkata, titah tersebut memperlihatkan kepentingan penjawat awam menjunjung prinsip Kesetiaan Kepada Raja dan Negara dalam melaksanakan tugasan secara jujur dan amanah.
“Seri Paduka Baginda mengingatkan bahawa penjawat awam perlu kekal profesional dan tidak terlibat dalam pergelutan politik yang boleh menjejaskan perkhidmatan kepada rakyat.
“CUEPACS percaya bahawa penjawat awam mampu melaksanakan tanggungjawab mereka tanpa dipengaruhi oleh kemelut politik semasa,” katanya seperti dilapor Bernama.
Terdahulu, Sultan Ibrahim dalam Titah Diraja pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan bagi 2025 sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara meminta penjawat awam agar sentiasa mengutamakan kepentingan negara dan rakyat.
“Pegawai kerajaan haruslah memastikan setiap keputusan yang dibuat mengikut syarat dan peraturan yang ditetapkan, bukan mengikut telunjuk orang politik,” titah Seri Paduka Baginda.
Sehubungan itu, Adnan menyeru semua penjawat awam memberikan perkhidmatan yang berkualiti dan berkesan kepada rakyat serta negara memandangkan mereka adalah tonggak kepada pentadbiran kerajaan selain perlu bertindak secara profesional.
“Penjawat awam diingatkan untuk kekal bebas daripada sebarang ideologi politik dalam usaha menjaga kesejahteraan negara secara menyeluruh di bawah naungan institusi diraja.
“Mereka perlu bijak mendepani cabaran dan memastikan perkhidmatan kepada rakyat tidak terjejas walaupun berlaku perubahan dalam kerajaan,” katanya lagi.
