Pelatih PLKN 3.0 teruja guna M16

KUANTAN: Seramai 123 pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 Siri Kedua teruja diberikan peluang menembak menggunakan senjata M16 di Lapang Sasar Markas Wilayah Laut (Mawilla) Satu, Tanjung Gelang di sini hari ini.

Mereka dari Kem Rejimen 505 Askar Wataniah di Pekan yang kali pertama menggunakan M16 itu tidak menyangka akan mempelajari penggunaan senjata itu membabitkan empat kedudukan iaitu meniarap, duduk, melutut dan berdiri.

Bagi Desmond Oliver Jilah Sumpongol, 18, dari Papar, Sabah, pada awalnya perasaan berdebar dirasakan kerana belum pernah memegang senjata terutama M16.

“Namun, sebaik diberikan penerangan dan cara penggunaan oleh jurulatih, perasaan berdebar itu hilang dan berasa teruja apabila menggunakan senjata itu buat kali pertama.

“Sebenarnya, saya gembira apabila tersenarai sebagai pelatih walaupun pada awalnya terkejut kerana belum pernah ke Semenanjung.

“Tetapi apabila berada di kem ini, saya banyak terdedah dengan perkara baharu dan mendapat kawan baharu daripada pelbagai kaum iaitu Melayu, Cina dan India,” katanya.

Aiman Khawarizmi Kamaruddin, 20 dari Kota Bharu, Kelantan pula tidak dapat menyembunyikan perasaan gembira kerana diberi peluang menggunakan senjata berkenaan membabitkan jarak 25 dan 100 meter.

Katanya, peluang itu adalah pengalaman berharga kerana secara sukarela menyertai PLKN sambil menunggu untuk menyambung pelajaran ke universiti sebagai lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

“Selepas tiga minggu berada di kem, ia bukan sahaja memberi pengalaman baharu, malah menguatkan mental dan fizikal jika negara berdepan sebarang ujian pada masa hadapan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Operasi Latihan Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) Kolonel Mazlizan Shaikh Osman, berkata seramai 257 pelatih PLKN menyertai latihan menembak yang diadakan selama dua hari bermula hari ini.

“Hari ini, seramai 123 pelatih yang dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu Alpha dan Bravo manakala esok pula membabitkan 134 pelatih daripada kumpulan Charlie dan Delta.

“Latihan menembak diterapkan dalam PLKN berdasarkan kajian lalu ramai pelatih yang mahu latihan di luar iaitu membabitkan ketenteraan yang diberikan pendedahan.

“Jika di tempat lain, mereka tiada peluang untuk menggunakan senjata kecuali menyertai pasukan beruniform Angkatan Tentera Malaysia (ATM) atau Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Sebelum dibenarkan latihan praktikal menembak ini, mereka diberikan kelas dari minggu pertama, kedua dan ketiga iaitu pengenalan kepada senjata dan langkah keselamatan terutama di lapang sasar.

“Dalam PLKN 3.0 ini, kita ada dua modul utama iaitu kenegaraan iaitu 30 peratus iaitu elemen jati diri, cinta negara dan perpaduan manakala ketenteraan (70 peratus) iaitu kemahiran asas ketenteraan, latihan fizikal, sukan bola sepak, futsal dan bola tampar,” katanya. – BH

More From Author

Jojo sudah sedia 100 peratus menentang Paez

Tempoh tahanan Eda Ezrin, suami bersama 4 rakan dilanjut hingga 6 Julai