Tempoh tahanan Eda Ezrin, suami bersama 4 rakan dilanjut hingga 6 Julai

KOTA BHARU: Penahanan penyanyi dikir barat Eda Ezrin, suami dan empat rakan dilanjut sehingga 6 Julai depan.

Mahkamah Wilayah Narathiwat sekali lagi meluluskan permohonan pendakwa raya untuk melanjutkan tempoh memfailkan rayuan terhadap keputusan mereka atas tuduhan bersama memiliki 6,059 biji pil methamphetamine.

Susulan itu, kesemua mereka akan terus ditahan di Penjara Pusat Narathiwat sehingga 6 Julai depan.

Jurucakap mahkamah berkata, pendakwa raya mengemukakan permohonan lanjutan itu pada 30 Mei lalu.

“Ini adalah kali keempat mahkamah membenarkan permohonan pendakwa raya bagi melanjutkan tempoh memfailkan rayuan sejak mahkamah membebaskan semua tertuduh pada 6 Mac lalu.

“Mengikut undang-undang Thailand, pendakwa raya dibenar mengemukakan empat kali permohonan bagi melanjutkan tempoh memfailkan rayuan,” katanya memetik Apa Khabar TV,

Pada 6 Mac lalu, mahkamah yang bersidang selama tiga hari iaitu 11, 13 dan 14 Februari membebaskan Eda Ezrin; suaminya dan empat rakan daripada tuduhan secara bersama memiliki untuk menjual 6,059 biji pil methamphetamine.

Bagaimanapun, mereka kekal di penjara kerana mahkamah membenarkan permohonan pendakwa raya untuk melanjutkan tempoh memfailkan rayuan terhadap Eda, suami dan empat rakannya itu.

More From Author

Pelatih PLKN 3.0 teruja guna M16

Kelar isteri: Konflik keluarga dipercayai punca