Rakaman percakapan Jovian Mandagie di Jakarta bukan Bali – Azam Baki

KUALA LUMPUR: Rakaman percakapan pereka fesyen, Jovian Mandagie bagi membantu siasatan kes melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilakukan di Jakarta, bukannya Bali seperti didakwa sesetengah pihak.

Perkara itu disahkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki seperti dilapor Berita Harian, hari ini.

Menurut Azam, pegawai SPRM berada di Jakarta merekodkan percakapan Jovian itu.

Beliau menegaskan, pegawai SPRM pergi ke Indonesia atas urusan rasmi, bukannya berbulan madu.

“Seseorang tanya saya kenapa pegawai SPRM pergi ke Bali (untuk rakam keterangan Jovian). Saya tak pernah kata mereka ke Bali. Pegawai saya berada di Jakarta, mereka bukan ke sana (Bali) untuk berbulan madu,” katanya.

Beliau menjelaskan demikian pada sidang media selepas Majlis Konvokesyen Program Penguatkuasaan Undang-undang Bertauliah SPRM Ke-2 Tahun 2025, hari ini.

Mengulas lanjut, Azam turut memaklumkan beliau belum lagi menerima laporan penuh berhubung proses rakaman tersebut.

“Saya belum dapat laporan penuh, tapi saya percaya pegawai saya telah ambil kenyataan (Jovian) di Jakarta, bukan di Bali,” katanya.

Semalam, media melaporkan pasukan penyiasat SPRM berada di Jakarta selama dua hari bagi merakam keterangan Jovian, 39, yang juga bekas menantu Ismail Sabri bagi membantu siasatan terhadap bekas Perdana Menteri Kesembilan itu.

Keterangan Jovian dianggap penting bagi pengesahan beberapa dokumen berkaitan, memandangkan beliau pernah terbabit secara langsung dalam urusan tertentu semasa pentadbiran Ahli Parlimen Bera berkenaan.

Difahamkan, SPRM sebelum ini sudah menetapkan janji temu bersama Jovian yang kini dilapor menetap di Jakarta selepas menutup operasi perniagaan fesyennya tahun lalu.

More From Author

Padah ludah muka, tendang BMW, warga Singapura didenda RM9,100

FAM zahir penghargaan kepada Tunku Mahkota Ismail