KUALA LUMPUR: UMNO menyifatkan penyertaan bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) , Tan Sri Dzulkifli Ahmad ke dalam parti tersebut sebagai aset penting.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, ini khususnya dalam aspek semak dan imbang dalam isu perundangan, rasuah serta ketelusan.
“Kemasukan beliau mengikut proses biasa. Bukan rundingan orang atas. Beliau berhubung terus dengan ketua cawangan dan ketua bahagian. Dia masuk dari bawah. Bukan jadikan UMNO sebagai transit.
“Tidak ada permaidani merah. Tidak ada janji jawatan. Tidak ada gegak gempita. Tidak perlu ditayang atas pentas macam bekas Ketua Wanita UMNO Pasir Salak dan Annuar Musa masuk Pas.
“Tetapi sudah tentu UMNO gembira dengan penyertaan beliau. Dia aset check and balance UMNO… Welcome aboard Tan Sri,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Kelmarin, Dzulkifli menyertai UMNO menerusi cawangan Merbau Kudong di bawah bahagian Tasek Gelugor.
Mengetuai SPRM dari Ogos 2016 hingga Mei 2018, Dzulkifli berkata beliau hanya menjadi ahli biasa tanpa sebarang perjanjian dengan rakyat atau pimpinan UMNO sendiri.
Katanya, beliau memilih UMNO kerana pernah menjadi dominan suatu ketika dahulu selain berhasrat membawa ‘nafas baharu’ untuk parti orang Melayu itu. – MN
