KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen (JIM) menafikan penularan satu kenyataan berhubung garis panduan pengagihan daging korban di masjid sempena sambutan Hari Raya Aidiladha.
Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) JIM, Ismail Mokhtar berkata, pihaknya tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan atau panduan seperti yang dinyatakan dalam kenyataan tersebut
“Kenyataan berkenaan adalah tidak benar dan tidak pernah dikeluarkan oleh JIM. Kita tidak mengeluarkan sebarang arahan atau panduan sebagaimana yang dinyatakan dalam kenyataan berkenaan.
“Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa merujuk kepada saluran rasmi jabatan untuk mendapatkan maklumat yang tepat dan sahih,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Terdahulu, tular kenyataan mempunyai lambang rasmi JIM yang mendakwa sempena sambutan Aidiladha, jabatan itu akan menjalankan pemantauan ketat terhadap aktiviti pengagihan daging korban di semua masjid di seluruh negara.
Kenyataan itu mendakwa ia selaras dengan arahan dikeluarkan oleh Kementerian Dalam Negeri.
Pada masa sama Ismail menghargai kerjasama semua pihak dalam menyalurkan dan berkongsi maklumat sahih.
Katanya, pihaknya memandang serius penyebaran maklumat palsu yang boleh menimbulkan kekeliruan awam.
“Kita juga meminta orang ramai supaya berhati-hati dan bertanggungjawab dalam menyebarkan sebarang maklumat yang belum dipastikan kesahihannya,” katanya lagi.
