KENYATAAN BALAS BERHUBUNG JEMPUTAN “IKHLAS” MENTERI PENGANGKUTAN
1. Saya berasa terharu dan lega kerana akhirnya, saya dan Kerajaan Negeri Johor mendapat jemputan yang “ikhlas” daripada YB Menteri Pengangkutan untuk melihat pelaksanaan projek KTM Komuter pada Selasa ini.
2. Saya tidak mempunyai sebarang masalah untuk hadir dan insya-Allah akan melapangkan jadual saya bagi tujuan tersebut. Pelaksanaan projek ini adalah demi kesenangan Bangsa Johor bukan kerjasama politik. Jadi sepatutnya tidak timbul sebarang masalah atau keraguan. Pada saya, urusan rasmi kerajaan dan urusan kerjasama politik adalah dua perkara yang berbeza.
3. Namun begitu, sehingga hari ini, pejabat saya telah memaklumkan bahawa saya masih belum menerima sebarang surat jemputan rasmi dan butiran program daripada pihak Kementerian Pengangkutan untuk saya hadir mewakili Kerajaan Negeri Johor.
4. Saya hanya dimaklumkan oleh pihak media bahawa “jemputan” tersebut dibuat ketika program politik Pelancaran Jentera Pilihan Raya Pakatan Harapan Negeri Sembilan malam semalam.
5. Walaubagaimanapun, saya tetap terharu dengan “keikhlasan” jemputan ini. Sekurang-kurangnya, Kerajaan Negeri Johor akhirnya “dijemput”, walaupun program ini telah dirancang sejak lebih seminggu lalu. Kerana sebelum ini beberapa program Kementerian, saya atau EXCO yang bertanggungjawab tidak mendapat sebarang jemputan rasmi. Antaranya pada :
a. 9 Januari 2023, Lawatan ke CIQ
b. 26 September 2024, Lawatan dan Pengumuman VEP
c. 4 Oktober 2024, Lawatan dan Pengumuman VEP
d. 23 Mac 2025, Lawatan ke ETS Segamat
6. Terkini adalah pada 3 April 2026, ketika Lawatan Kerja YB Menteri Pengangkutan ke tapak projek RTS Link, Kerajaan Negeri sekali lagi tidak dijemput. Namun beberapa pemimpin DAP Johor pula dilihat hadir dalam program. Apabila saya berhubung dengan pihak tertinggi Kementerian Pengangkutan, saya dimaklumkan jemputan hanya melibatkan pihak vendor/pembekal. Adakah pemimpin-pemimpin DAP ini merupakan vendor/pembekal? (Sila lihat gambar-gambar)
7. Untuk pengetahuan semua, bagi memastikan agenda memperkasakan pengangkutan awam di Johor melalui projek KTM Komuter ini dapat berjalan dengan baik, Kerajaan Negeri, turut menghulurkan bantuan sebanyak RM700,000 bagi kerja-kerja mencantikkan dan membalut tren. Saya juga difahamkan pelaksanaannya terpaksa ditangguhkan bagi menunggu kehadiran YB Menteri Pengangkutan untuk melancarkannya pada hari Selasa ini.
8. Selain itu, atas permohonan KTM, Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Pengangkutan Awam Johor (PAJ) turut bersetuju untuk menyediakan perkhidmatan bas pengantara di stesen-stesen terlibat, termasuk perkhidmatan shuttle dengan kos operasi sekitar RM86,000. Kerajaan Negeri juga menyelaras laluan Bas Muafakat Johor serta menaja tempat duduk bernilai kira-kira RM9,000 demi keselesaan penumpang.
9. Perkongsian ini bukanlah bertujuan untuk “claim credit”, tetapi sekadar memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri Johor turut menyumbang dalam menjayakan inisiatif Kerajaan Persekutuan. Johor bukan sekadar menerima, tetapi turut membantu melaksanakan.
10. Bagi saya, projek pembangunan bukanlah milik mana-mana parti politik termasuklah DAP. Sebaliknya, ia adalah tanggungjawab semua pihak yang diberikan amanah dan kita mesti kekal profesional untuk melaksanakannya demi manfaat dan kesenangan rakyat.
11. Saya menunggu surat jemputan rasmi dan butiran program. Insya-Allah, saya akan melapangkan jadual saya bagi tujuan tersebut.
YAB Menteri Besar Johor
Datuk Onn Hafiz Ghazi
