Sisa pembinaan dari Singapura dibawa lagi secara haram ke Pontian

PONTIAN: Sisa pembinaan dari Singapura dibawa lagi masuk secara haram untuk menambak sebuah tapak projek di Kampung Tenggayun, Mukim Rimba Terjun di sini.

Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Johor, Zainal Fitri Ahmad berkata, siasatan mendapati tiada sebarang permit pernah dikeluarkan bagi membenarkan kemasukan sisa pembinaan dari Singapura ke negara ini.

Pihaknya ketika ini masih menyiasat kemungkinan wujud kebocoran apabila bahan buangan itu dipercayai dibawa masuk menggunakan permit lain.

“Kita tidak pernah mengeluarkan permit untuk membawa masuk sisa pembinaan ke Malaysia. Mereka dipercayai menggunakan permit lain bagi membolehkan kemasukan bahan buangan berkenaan.

“Kita kini bekerjasama dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) bagi menyiasat perkara berkenaan,” katanya ditemui selepas melawat tapak projek tersebut, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Luar Bandar Johor, Md Israk Abdullah; Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zaidi Japar; Pegawai Daerah Pontian, Mohd Farid Hassan dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pontian

(MPPn), Sulaiman Ismail.

Zainal berkata, tapak berkenaan adalah lokasi baharu yang dikesan melakukan aktiviti berkenaan dan tindakan penutupan akan dilaksanakan bagi mengelakkan kegiatan itu berterusan.

Katanya, pihak terbabit juga boleh dikenakan tindakan undang-undang mengikut peruntukan Akta 672, selain diarahkan membersihkan serta mengeluarkan semua sisa pembinaan yang dilonggokkan di kawasan berkenaan.

diarahkan dihentikan serta-merta kerana

Sementara itu, Zaidi berkata, kerja-kerja penambakan tanah di situ diarahkan dihentikan serta-merta selepas didapati melanggar lima syarat ditetapkan pihak berkuasa tempatan (PBT), termasuk menggunakan sisa bahan binaan yang dibawa masuk dari Singapura.

Tegasnya, tindakan itu diambil susulan pemeriksaan mendapati pihak terbabit melakukan kerja tanpa kelulusan Borang B selain melanggar syarat pengurusan trafik, pemasangan hoarding, papan tanda serta pengurusan bahan buangan.

Jelas beliau, pelanggaran paling serius adalah kegagalan mendapatkan kelulusan Borang B sebelum memulakan kerja, sekali gus menyebabkan aktiviti pembangunan berkenaan dilakukan tanpa kebenaran.

Pihak terbabit hanya mengemukakan Borang B kepada Yang Dipertua MPPn semalam dan proses kelulusan lazimnya mengambil masa antara satu hingga dua minggu, katanya.

“Pada saya, pelanggaran ini jelas dan keterlaluan. Sepatutnya kerja-kerja ini dihentikan kerana mereka tidak sepatutnya memulakan kerja sebelum mendapat kelulusan.

“Jadi, kita perlu menghentikan kerja-kerja ini dan pihak PBT akan mengeluarkan senarai kesalahan yang dilakukan,” katanya.

Zaidi memberitahu, kerja di tapak itu dipercayai sudah bermula sejak kira-kira seminggu lalu, namun aktiviti yang lebih serius dikesan berlaku sejak tiga hingga empat hari kebelakangan ini.

Katanya, aduan awam turut diterima berikutan keadaan jalan yang kotor, selain pemeriksaan mendapati terdapat lambakan sisa bahan binaan di kawasan berkenaan.

“Johor bukan tempat pembuangan sisa bahan binaan atau tapak pelupusan. Kita juga bimbang dari segi keselamatan teknikal kerana penggunaan bahan sedemikian boleh menyebabkan cerucuk tidak berada dalam keadaan stabil.

“Pada masa akan datang, ia berpotensi menyebabkan bangunan menjadi senget, retak dan sebagainya,” katanya.- MAJESTIC

More From Author

Penjawat awam direman disyaki terima rasuah RM30 juta, bantu kurangkan bayaran cukai taksiran

Adakan pilihan raya, redakan huru-hara dalam negara – Dr. Naqib