KULAI: Cubaan beberapa pendatang asing tanpa izin (PATI) melarikan diri semasa diserbu pihak imigresen gagal apabila 50 ditahan dalam operasi di premis rumah kedai di sini hari ini.
Pengarah Imigresen negeri, Datuk Mohd. Rusdi Mohd. Darus berkata, dalam Op
Sapu pukul 12.30 tengah malam itu, pihaknya menyasarkan premis yang dijadikan sebagai tempat tinggal PATI.
“Operasi yang dijalankan hasil risikan dan pemantauan berterusan. Pemeriksaan menemukan beberapa individu bertindak menyembunyikan diri bawah katil dan di ruang sempit premis dalam usaha mengaburi pihak berkuasa.
“Walau bagaimanapun, tindakan tersebut gagal apabila anggota penguat kuasa berjaya mengesan dan menahan kesemua individu terbabit hasil pemeriksaan menyeluruh di setiap premis sasaran,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
PATI itu terdiri daripada lapan lelaki warganegara Indonesia, 31 lelaki Myanmar, dua lelaki Bangladesh, dua wanita Indonesia, enam wanita Myanmar dan seorang wanita Vietnam.
Hasil pemeriksaan mendapati PATI terbabit tidak memiliki dokumen perjalanan sah serta tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan berusia dalam lingkungan 18 tahun hingga 40 tahun.
Jelasnya, semua individu yang ditahan disyaki melakukan kesalahan bawah Akta Imigresen 1959/63 dan ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika di Johor Bahru untuk siasatan dan tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang.
“Selaras dengan aspirasi kerajaan Madani, JIM Negeri Johor akan terus memperkukuh penguatkuasaan bagi membanteras penyelewangan dan memastikan keselamatan serta intergriti negara terus terpelihara,” katanya.- MAJESTIC
