KUALA LUMPUR – Jenama kesihatan dan kesejahteraan global, Bragg melancarkan rangkaian terbaharu Bragg Organic ACV Blends di Malaysia menerusi kerjasama strategik bersama BIG CARiNG Group, rangkaian farmasi runcit terkemuka negara.
Pelancaran itu turut mengukuhkan peranan Matahari Sdn Bhd sebagai pengedar tunggal produk Bragg di Malaysia bagi memastikan ketersediaan produk tersebut secara meluas di seluruh negara.
Menurut Bragg, langkah berkenaan mencerminkan komitmen berterusan syarikat dalam memperkukuh kedudukannya di pasaran Malaysia di samping menawarkan penyelesaian kesejahteraan moden yang memenuhi keperluan pengguna masa kini.
Rangkaian Bragg Organic ACV Blends dibangunkan berasaskan warisan lebih 100 tahun Bragg dalam pemakanan berfungsi dan produk kesihatan berkualiti, dengan formulasi baharu yang direka untuk menyokong gaya hidup aktif dan mementingkan kesihatan.
Produk itu turut mengekalkan falsafah jenama berkenaan yang menitikberatkan penggunaan bahan bersih, sumber yang diperoleh secara bertanggungjawab dan ketelusan dalam proses pembuatan.

Bragg Organic ACV Blends dibangunkan dengan panduan Lembaga Penasihat Saintifik Bragg menggunakan bahan semula jadi tanpa tambahan gula sebagai pilihan mudah untuk rutin kesejahteraan harian.
Bagi pasaran Malaysia, dua varian diperkenalkan iaitu Cranberry Apple dan Citrus Ginger yang menawarkan pilihan rasa menyegarkan untuk pengguna.
Varian Citrus Ginger menggabungkan cuka epal organik dengan rasa citrus dan halia, manakala Cranberry Apple menawarkan profil rasa buah-buahan yang lebih kaya. Kedua-dua varian mengandungi 750 miligram asid asetik bagi setiap hidangan.
Produk tersebut dihasilkan di Amerika Syarikat menggunakan 100 peratus epal organik melalui proses fermentasi semula jadi dan tidak mengandungi pewarna tiruan, gula diproses mahupun bahan pengawet.
Pengarah Unit Perniagaan Beauty, Baby & Health Food BIG CARiNG Group, Foo Fung Jiun berkata, kerjasama itu mencerminkan komitmen bersama dalam membawa produk kesejahteraan berkualiti tinggi kepada pengguna Malaysia melalui rangkaian farmasi runcit yang luas.
“Di BIG CARiNG Group, kami memberi tumpuan kepada memastikan produk yang ditawarkan relevan dengan keperluan gaya hidup pengguna,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Pengarah Pembangunan Perniagaan Matahari Sdn Bhd, Annie Sim berkata, Bragg Organic ACV Blends melambangkan fasa baharu jenama tersebut dalam aspek inovasi dan pembangunan produk berorientasikan pengguna.
“Matahari Sdn Bhd memainkan peranan penting dalam memperkukuh kehadiran Bragg di Malaysia dengan memastikan akses produk yang lebih meluas di seluruh negara,” katanya.
Dalam pada itu, Bragg memaklumkan bahawa syarikat itu mematuhi piawaian kawalan kualiti yang ketat termasuk kebolehkesanan bahan, integriti pengeluaran dan pematuhan terhadap standard antarabangsa di semua fasiliti pengeluarannya.
Menurut syarikat itu, produk teras Bragg Organic Apple Cider Vinegar telah memperoleh pensijilan halal di peringkat operasi global selepas melalui audit menyeluruh melibatkan sumber bahan, integriti pengeluaran dan standard kebersihan.
Bagaimanapun, rangkaian Bragg Organic ACV Blends belum memperoleh pensijilan halal dan logo halal tidak dipaparkan pada produk tersebut di pasaran Malaysia.
Bragg turut menegaskan komitmennya untuk mematuhi semua keperluan peraturan dan pelabelan tempatan di Malaysia serta akan terus bekerjasama rapat dengan pihak berkepentingan berkaitan bagi memastikan komunikasi pasaran yang jelas dan tepat.
