BN Johor mahu kembali jadi kerajaan selepas PRN

JOHOR BAHRU: Keputusan Barisan Nasional (BN) bertanding di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) adalah untuk kembali menjadi kerajaan negeri selepas menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor nanti.

Pemuda BN dalam satu kenyataan bersama-sama hari ini memberitahu, ketetapan bertanding di semua kerusi merupakan amalan biasa dalam mana-mana sistem demokrasi yang matang.

Jelas Pemuda BN, mana-mana parti atau gabungan yang sedang memerintah sememangnya bertanggungjawab menawarkan diri semula kepada rakyat bagi mendapatkan mandat baharu untuk terus mentadbir kerajaan.

“Sebaliknya, sesuatu yang amat janggal dan tidak masuk akal sekiranya parti penyandang sendiri kelihatan teragak-agak, tidak yakin atau tidak bersedia untuk mempertahankan kerajaan yang ingin

terus dipimpini.

“Justeru, Pakatan Harapan (PH) Johor dan mana-mana parti dalam gabungan tersebut tidak sepatutnya merasa terkilan, marah apatah lagi mendakwa kononnya berlaku pengkhianatan terhadap mereka susulan keputusan BN Johor ini,” menurut kenyataan bersama-sama itu.

Kenyataan tersebut dikeluarkan secara kolektif melibatkan Ketua Pemuda UMNO Johor, Noor Azleen Ambros; Ketua Pemuda MCA Johor, Heng Zhi Li dan Ketua Pemuda MIC Johor, Mohan Arunachalam.

Jelas Pemuda BN, hakikatnya kerajaan Johor hari ini bukan terbentuk hasil gabungan politik pasca pilihan raya ataupun rundingan pembahagian kuasa, tetapi lahir daripada mandat jelas Bangsa Johor dalam PRN Johor 2022 yang memberikan kemenangan besar kepada BN.

Menurut kenyataan itu, dalam semangat demokrasi yang sihat, Pemuda BN Johor turut mengalu-alukan sekiranya PH Johor mahu meletakkan calon di kesemua 56 kerusi DUN.

“Biarlah rakyat sendiri membuat penilaian dan menentukan pilihan mereka melalui proses demokrasi yang terbuka serta matang.

“Inilah demokrasi sebenar, rakyat diberikan pilihan, parti diberikan ruang bertanding, dan mandat ditentukan sepenuhnya oleh pengundi,” ujar kenyataan itu lagi.

Pemuda BN Johor yakin keputusan untuk bertanding di semua kerusi dibuat atas keperluan untuk mengekalkan kestabilan politik yang sedang dinikmati Johor ketika ini.

Tambah kenyataan itu, ini termasuk meneruskan rekod pencapaian baik kerajaan negeri, memperkukuh agenda kesejahteraan rakyat serta memastikan kesinambungan pelan masa depan Johor yang sedang direncanakan.

Pemuda BN Johor juga percaya bahawa BN Johor kekal sebagai formula terbaik untuk terus mengemudi kerajaan negeri dalam PRN akan datang demi kestabilan, kemajuan dan kesejahteraan Bangsa Johor.

Kelmarin Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan bahawa BN Johor bertanding di semua 56 kerusi DUN pada PRN Johor akan datang.

Pengumuan itu menyebabkan rasa tidak puas hati ramai pemimpin tertinggi PH sehingga melabelkan BN sebagai pengkhianat.- MAJESTIC

More From Author

Bragg, BIG CARiNG Lancar Bragg Organic ACV Blends di Malaysia

Buatlah pilihan tepat antara keangkuhan politik atau muafakat – Suhaizan