Berikut kenyataan penuh Exco Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor, Mohd. Hairi Mad Shah
*_PENAFIAN TERHADAP DAKWAAN TIDAK BERASAS BERHUBUNG PEMILIKAN STADIUM SULTAN IBRAHIM (SSI)_*
Saya merujuk kepada satu kenyataan yang telah dimuat naik di laman sesawang X oleh seorang individu bernama Syairul Syazwin, yang mendakwa bahawa Stadium Sultan Ibrahim (SSI) bukan milik Johor Darul Ta’zim (JDT).
Kenyataan tersebut adalah dangkal, tidak berfakta dan mengelirukan, serta berpotensi mencetuskan salah faham dalam kalangan masyarakat.
Sebagai EXCO Belia dan Sukan Negeri Johor, saya ingin menafikan sekeras kerasnya dakwaan tersebut.
Untuk penjelasan yang tepat dan berfakta:
Stadium Sultan Ibrahim (SSI) adalah hak milik Johor Darul Ta’zim, yang berada di bawah naungan dan perkenan Duli Yang Amat Mulia Pemangku Sultan Johor selaku pemilik Johor Darul Ta’zim.
Pembinaan stadium ini adalah sebahagian daripada visi strategik DYAM Pemangku Sultan Johor dalam membangunkan ekosistem sukan bertaraf dunia di Negeri Johor.
Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) berperanan sebagai entiti profesional yang mengurus dan membangunkan pasukan, termasuk aspek teknikal, prestasi pemain, pembangunan bakat dan pengurusan kelab secara keseluruhan.
Bagi memastikan tadbir urus stadium dilaksanakan secara berstruktur, profesional dan berstandard antarabangsa, DYAM Pemangku Sultan Johor telah memberikan kepercayaan dan kuasa kepada Perbadanan Stadium Negeri Johor (PSNJ) untuk:
– Mengawal selia operasi harian stadium
– Merancang dan melaksanakan penyelenggaraan berkala
– Mengurus aspek keselamatan, fasiliti, logistik dan penganjuran acara
– Memastikan stadium berada pada tahap terbaik untuk perlawanan domestik dan antarabangsa
Model pengurusan ini jelas menunjukkan pemisahan peranan yang profesional dan berkesan, di mana:
JDT fokus sepenuhnya kepada prestasi pasukan dan kejayaan kelab
– PSNJ bertanggungjawab ke atas pengurusan dan penyelenggaraan stadium
– Pendekatan ini selari dengan amalan terbaik (best practices) kelab-kelab elit dunia dan menjadi antara faktor utama kejayaan berterusan JDT di peringkat nasional dan antarabangsa.
Sehubungan itu, saya menegaskan bahawa kenyataan yang dibuat oleh individu berkenaan adalah tidak benar, tidak berasas dan bersifat spekulatif, serta wajar dihentikan agar tidak mengelirukan rakyat Johor.
Saya menyeru semua pihak, khususnya penulis dan pempengaruh media sosial, agar lebih bertanggungjawab, menyemak fakta dan tidak membuat kenyataan rambang yang boleh mencemar reputasi institusi sukan negeri serta kepimpinan Negeri Johor.
Kerajaan Negeri Johor kekal komited untuk memastikan Stadium Sultan Ibrahim terus diurus secara profesional, berintegriti dan menjadi kebanggaan rakyat Johor serta simbol kecemerlangan sukan negeri ini.
Sekian, terima kasih.
YB Mohd Hairi bin Mad Shah
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan,
Pembangunan Usahawan dan Koperasi
Negeri Johor
