KLUANG: “Turun padang setahun sekali pun susah, tiba-tiba nak datang bertanding?”
Itu reaksi Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Kluang, Abdul Hamid Dahlan mengenai seorang calon pengimbang yang akan bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Keadaan itu amat berbeza dengan UMNO Bahagian Kluang yang sentiasa mendampingi masyarakat setempat tanpa mengira waktu mendengar apa sahaja masalah dihadapi.
“Berbanding calon pembangkang tersebut, hanya dilihat berada di kawasan Mahkota apabila namanya disebut-sebut sebagai calon dengan melakukan pelbagai aktiviti kononnya sebagai tindakan prihatin rakyat.
“Malah ramai penduduk di Mahkota ini tidak mengenali calon berkenaan dan menganggapnya sebagai datang melawat di DUN Mahkota sebelum pulang ke kediamannya di luar daerah Kluang ini,” katanya ketika ditemui.
Beliau berkata masyarakat di Mahkota tidak memerlukan seorang wakil rakyat yang hanya datang ‘menziarahi’ ketika tiba musim pilihan raya sebaliknya perlukan wakil rakyat yang sentiasa ada dalam apa juga keadaan.
Abdul Hamid mendakwa, sepanjang Mahkota diwakili UMNO Bahagian Kluang, kebajikan mereka sentiasa dijaga dan hampir sepanjang masa serta sentiasa mengambil prihatin kepayahan hidup masyarakat setempat.
Bagaimanapun beliau percaya penduduk tidak mudah termakan janji bermusim daripada calon seperti itu yang hanya bertanding untuk jawatan semata-mata.
“Di jangka ada dua calon yang hanya timbul secara bermusim di Mahkota ini, saya yakin masyarakat akan menolak mereka sebagai wakil rakyat di sini,” katanya.
DUN Mahkota ketika ini disandang Syed Hussein Syed Abdullah dan kawasan tersebut merupakan kubu kuat UMNO sejak dahulu.- MAJESTIC
