Tukang gunting didakwa bunuh isteri hamil

KOTA TINGGI: Tukang gunting etnik Rohingya didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan termasuk membunuh isterinya yang sedang hamil, dua minggu lalu.

Rashidullah Mong Fumiyah, 35, mengangguk faham pertuduhan yang dibacakan terhadapnya itu, namun tiada pengakuan direkodkan di hadapan Majistret Nurkhalida Farhana Abu Bakar.

Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian seorang wanita iaitu Fazanah Eskar, 34, di sebuah rumah di Jalan Haji Mustafa, Kampung Makam di sini, pada awal pagi, 13 Februari lalu.

Bagi perbuatan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara maksimum 40 tahun dan jika tidak dihukum mati, hendaklah disebat tidak kurang 12 kali sebatan, jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudian menetapkan 22 April depan bagi sebutan semula kes sementara menunggu laporan bedah siasat dan lapiran kimia.

Di mahkamah sama, tertuduh turut didakwa bagi satu lagi pertuduhan melakukan perbuatan yang menyebabkan kematian bayi cukup sifat dalam kandungan isterinya itu.

Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa menghentak wanita berkenaan pada bahagian kepala sebelah kiri menggunakan lesung batu hingga menyebabkan kematian mangsa.

Perbuatan tersebut menyebabkan kematian seorang anak dalam kandungan yang cukup sifat milik mangsa.

Perbuatan yang didakwa dilakukan di lokasi, masa dan tarikh yang sama itu dibuat mengikut Seksyen 316 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan hendaklah dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Tertuduh faham pertuduhan dan hukuman dihadapinya, namun ketika ditanya sama ada mengaku bersalah atau tidak, dia tidak memberikan sebarang pengakuan.

Lelaki itu sambil menangis cuma berkata, dia minta maaf dan mohon hukuman dikurangkan.

“Saya minta maaf. Saya orang Islam. Tetapi ini hukuman Malaysia. Kalau tuhan hukum, apa-apa saya terima,” katanya yang masih tidak membuat sebarang pengakuan bersalah atau tidak, walaupun ditanya jurubahasa dan majistret beberapa kali.

Mahkamah kemudian menetapkan 18 Mac ini bagi kehadiran jurubahasa Myanmar supaya tertuduh lebih memahami pertuduhan sebelum membuat sebarang pengakuan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Eizlan Azhar, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sebelum ini, portal ini melaporkan seorang wanita yang hamil tujuh bulan ditemui maut dipercayai dibunuh suaminya dipercayai menggunakan lesung batu.

Mangsa wanita itu ditemui tidak bernyawa dalam bilik rumah sewa mereka kira-kira jam 7 pagi, 13 Februari lalu, oleh pemilik rumah selepas dipercayai dibunuh kira-kira pukul 3 pagi.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman dilaporkan berkata, pihaknya tidak menolak punca kejadian bermotifkan cemburu.- MAJESTIC

More From Author

SSI: Kenyataan tak berasas, dangkal – Exco Sukan

Hampir 40 anggota bomba bertarung kawal kebakaran gudang sejak semalam