TANGKAK: Seorang pemuda maut selepas motosikal ditunggang terlibat kemalangan di Kilometer 156.2 Lebuhraya Utara-Selatan, arah utara di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Tangkak Superintendan Roslan Mohd Taib berkata, kemalangan tersebut berlaku pada pukul 10.40 pagi melibatkan motosikal jenis Yamaha biru dengan lori jenis Hino warna putih.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal ditunggang mangsa yang berusia 20 tahun telah bergesel dengan sebuah lori.
“Akibat pergeselan tersebut mangsa telah hilang kawalan dan terjatuh ke lorong kecemasan sebelum meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, pemandu lori tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan, kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Jelasnya, jika sabit kesalahan boleh dipenjara lima hingga 10 tahun serta denda
RM20,000 hingga RM50,000 selain hilang kelayakan memegang lesen memandu selama tempoh lima tahun.
Pihaknya meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian tersebut untuk menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Nurhisyam Syafiq Mat Lopa bagi melengkapkan siasatan. – Majestic
