MUAR: Pemandu dan kelindan lori maut dalam nahas melibatkan tiga kenderaan di Kilometer 129.9, Lebuhraya Utara Selatan, arah selatan di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, kemalangan pada pukul 6 pagi itu melibatkan dua treler serta sebuah lori.
“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila treler pertama yang dipandu seorang lelaki berusia 52 tahun sedang bergerak di lorong kiri menuju Johor Bahru.
“Treler pertama itu kemudian dilanggar di bahagian belakang oleh treler kedua di lorong yang sama,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, pada masa yang sama sebuah lori yang berada di laluan sama gagal mengelak lalu merempuh bahagian belakang treler kedua sehingga menyebabkannya terbabas ke longkang di bahu kiri jalan.
Akibatnya kata Raiz Mukhliz, pemandu lori, 23, dan kelindannya, 24, tersepit sebelum disahkan sudah meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan yang hadir di lokasi.
Menurut beliau, kedua-dua mangsa kemudiannya berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba.
Jelasnya, pemandu treler pertama tidak cedera sementara pemandu treler kedua cedera ringan dan menerima rawatan di Klinik Kesihatan Yong Peng.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara Lima hingga 10 tahun serta denda antara RM20,000 hingga RM50,000.
Tambahnya, ini termasuk hilang kelayakan memegang lesen memandu selama tempoh lima tahun, jika sabit kesalahan.
“Polis turut meminta mana-mana saksi kejadian, agar tampil membantu siasatan dengan menghubungi Inspektor Muhamad Azim Aziz di talian 018-9704143 atau hadir ke Balai Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar, bagi membantu siasatan,” ujarnya. – Majestic
