KLUANG: Perjalanan yang bermula daripada jualan kereta terpakai kini berkembang menjadi kisah kejayaan tersendiri apabila seorang usahawan wanita berjaya mengangkat perniagaan keluarga ke tahap lebih tinggi sebagai wakil jualan kereta berjenama dengan pusat jualan serba moden dan lengkap.
Pengarah Urusan Hong Huat Automobile Sdn. Bhd., Datin Goh Shu Ling berkata, pencapaian itu lahir daripada kegigihan serta sokongan keluarga yang bersama membina perniagaan sejak 1993, termasuk ayahnya, Goh Hui Yong.
Memilih Kluang sebagai lokasi tetap operasi telah mengukuhkan lagi komitmen mereka untuk terus maju dan berkembang.
“Di Taman Intan dahulu, kami hanya menyediakan khidmat jualan kenderaan. Namun apabila permintaan pelanggan terhadap penyelenggaraan dan pembaikan semakin meningkat, kami mahu menawarkan pengalaman yang lebih baik serta menyeluruh. Justeru, kami membuka pusat servis dan pembaikan kenderaan di Kawasan Perindustrian Mengkibol,” katanya.

Daripada keperluan itu, sebuah pusat lengkap empat dalam satu kemudian dibangunkan di atas tanah seluas kira-kira 10 ekar di Jalan Batu Pahat–Kluang, merangkumi Pusat Jualan, Pusat Selenggara, Pusat Membaiki Badan Kenderaan dan Pusat Mengecat.
“Pusat serba lengkap ini membolehkan pelanggan mendapatkan semua perkhidmatan di satu lokasi dengan lebih cepat, teratur dan profesional. Ia juga mencerminkan komitmen kami dalam meningkatkan mutu perkhidmatan serta memberikan nilai terbaik kepada pelanggan,” jelasnya.
Majlis pelancaran pusat tersebut turut disempurnakan oleh Presiden UMW Toyota Motor Sdn. Bhd., Datuk K. Ravindran, bersama Timbalan Pengarah (Deputy Chairman), Takashi Obata.
“Saya yakin pusat ini akan memberi manfaat besar kepada pemilik Toyota di daerah ini, selain menyokong pertumbuhan jualan dan memperkukuh kehadiran jenama Toyota dalam komuniti setempat,” katanya penuh optimis. – Majestic
