JOHOR BAHRU: Cubaan seorang lelaki untuk melarikan diri daripada ditahan polis di Jalan Persiaran South Key di sini kelmarin, tidak berjaya apabila berjaya diberkas.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kejadian berlaku semasa suspek memandi di jalan berkenaan pukul 5.40 petang.
“Suspek gagal memberikan kerjasama untuk pemeriksaan dan bertindak melarikan diri. Polis mengejar kereta jenis Proton Satria berwarna hitam dipandu lelaki itu.
“Ketika kejadian itu, suspek bertindak memandu kereta secara melawan arus dan telah melanggar beberapa buah kenderaan sebelum terbabas melanggar penghadang jalan,” katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, tular video berdurasi 38 saat memaparkan kereta peronda polis mengejar sebuah kereta dan Raub mengesahkan pihaknya mengesan video tular berkenaan pukul 9.30 malam semalam.
Beliau berkata, suspek warga tempatan berusia 26 tahun itu berjaya ditahan dan polis turut merampas sebilah parang panjang yang ditemui dalam kereta berkenaan.
Menurut Raub, hasil semakan rekod lampau mendapati suspek mempunyai 23 rekod berkaitan kesalahan jenayah dan dadah.
Katanya, hasil ujian saringan air kencing yang dilakukan ke atas suspek pula mendapati dia positif methamphetamine.
Suspek ditahan reman selama empat hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.
Suspek turut disiasat di bawah Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 kerana memiliki senjata berbahaya di tempat awam tanpa kebenaran yang sah, tambahnya.
Beliau memberitahu, suspek yang positif dadah turut disiasat bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Pada masa sama ujarnya, suspek juga disiasat di bawah Seksyen 42(1) APJ 1987 iaitu kesalahan memandu kenderaan secara melulu atau berbahaya, yang mengancam keselamatan diri atau pengguna jalan raya lain. – Majestic
