KLUANG: Keretapi Elektrik Berkembar akan mula beroperasi sepenuhnya daripada Johor Bahru ke Kuala Lumpur kepada pengguna awam bermula 12 Disember ini selepas perasmian yang akan dilakukan oleh Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Yang DiPertuan Agong (YDPA) Sultan Ibrahim Iskandar sehari sebelum itu.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, acara perasmian pengoperasian itu dilakukan pada 11 Disember selepas Baginda Sultan berkenaan melaksanakannya di Johor Bahru.
Katanya, dengan pembukaan operasi itu, orang ramai boleh menggunakan perkhidmatan perjalanan dengan kekerapan satu jam sekali bersamaan 10 berjalan pergi balik daripada Johor Bahru ke Kuala Lumpur.
“Bagi penumpang yang meneruskan perjalanan ke Utara, mereka akan melakukan transit di Stesen Keretapi Kuala Lumpur yang turut melakukan kekerapan perjalanan sama.
“Pada masa ini, tiada perjalanan secasa terus daripada Johor Bahru ke Padang Besar kerana jaraknya yang terlalu panjang dan menghadkan jumlah perjalanan kepada hanya dua kali sehari sahaja.
“Dengan cara membahagikan jarak perjalanan kepada dua peringkat ini, ia akan membolehkan kekerapan perjalanan pergi dan balik dalam jumlah lebih banyak,”katanya kepada pemberita.
Anthony berkata demikian, selepas hadir merasmikan Pesta Rel Kluang di Stesen Laman Rel Mahkota di sini hari ini.
Sementara itu, ketika diminta mengulas berkaitan pembinaan Elevated Autonomous Rapid Transit (E-ART) di Johor Bahru, Anthony berkata, projek pembinaan rel mega itu sedang dipertimbangkan kerana belum berpuas hati dengan beberapa perkara yang dicadangkan.
Ujarnya, projek pembinaan itu tidak ditangguhkan kerana ia sememangnya menjadi tumpuan utama pihaknya dan sedang diperhalusi serta berusaha untuk membincangkan agar dapat menyegerakan projek berkenaan untuk dilaksanakan. – Majestic
