KUALA LUMPUR: Peminat penyanyi rap dan komposer prolifik, Malique Ibrahim, kembali ‘tak senang duduk’ selepas beliau memuat naik gambar tiket Konsert GenKRU The Finale: One More Time di Instagram Story (IGs) miliknya, sekali gus mencetuskan tanda tanya mengenai kemunculannya pada konsert berkenaan di Stadium Hoki, Bukit Jalil, Sabtu ini.
Perkongsian ringkas itu disertakan kapsyen yang cukup membuat peminat berdebar menanti.
“Setelah sekian lama. Jumpa Sabtu ini,” tulisnya.
Tidak lama selepas hantaran itu, ruangan komen dan media sosial dipenuhi pelbagai reaksi peminat yang terkejut, teruja dan keliru dengan kemungkinan kemunculan legenda hip hop Malaysia itu.
“Anda bergurau ke, Mr G?” tulis seorang peminat.
“Apa? Tunggu! Benarkah ini?” komen peminat lain yang jelas tidak keruan.
Nama Malique sememangnya menjadi antara individu paling dinantikan di pentas industri muzik tempatan sejak beliau memilih untuk menyepi daripada dunia hiburan dan menjalani kehidupan lebih privasi bersama keluarga. – BH
