Cari nyawa politik dengan fitnah, Amanah Johor didakwa terdesak

JOHOR BAHRU: Tindakan Parti Amanah Negara (Amanah) Johor yang melaga-lagakan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas di negeri ini adalah usaha terdesak kerana Perikatan Nasional (PN) semakin mendapat tempat dalam kalangan rakyat.

Ketua Pemuda Dewan Pemuda Pas Johor, Ridhwan Salamun dan Ketua Angkatan Anak Muda Bersatu (Armada) Johor, Alias Rasman dalam kenyataan bersama memaklumkan, Amanah Johor cuba menggugat kesepaduan PN Johor namun tidak berjaya.

“Hakikatnya, hubungan Pas Johor dan Bersatu Johor kekal kukuh, berasaskan semangat muafakat dan keikhlasan dalam perjuangan.

“Kami sentiasa berbincang, menyelaras, serta bergerak seiring di bawah panji PN bersama rakan-rakan parti komponen yang lain.

“PN Johor berdiri atas prinsip kejujuran dalam perjuangan, kestabilan dalam gabungan, dan keberanian membawa suara rakyat,” katanya dalam kenyataan tersebut hari ini.

Katanya, ini berbeza dengan hubungan antara Amanah Johor dengan Barisan Nasional (BN) Johor yang sering kali dilihat menagih simpati berhubung pembahagian kerusi di negeri ini tetapi tidak dilayan.

Amanah Johor katanya, perlu terima hakikat mereka adalah pembangkang di Johor dan tidak wujud konsep kerajaan Perpaduan seperti yang diamalkan di peringkat Pusat.

“Jangan cari nyawa politik atas fitnah, apabila semangat setiakawan kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan tidak disambut di negeri Johor.

“Justeru, PN Johor mengingatkan supaya Amanah Johor jangan sibuk menjaga tembok rumah orang, kalau rumah sendiri pun masih tidak terurus.

“Sebelum menabur fitnah mencari simpati politik, lebih baik cermin diri dan tumpukan kepada usaha menyelesaikan kekalutan dalam rumah tangga sendiri,” katanya.

Pihaknya sebagai antara saf pemuda dan keluarga besar PN Johor tidak akan melayan politik murahan dimainkan Amanah Johor dan akan terus fokus bekerja demi rakyat Johor sebagai pengimbang yang berprinsip, efektif dan bertanggungjawab.

Semalam, Naib Pengerusi Amanah Johor, Dr Zuhan Zain mendakwa, hubungan Bersatu dan Pas dalam PN didakwa berada dalam keadaan rapuh dan berpecah.

Zuhan dilaporkan berkata, masing-masing cuba merebut pengaruh dan kedudukan menjelang pilihan raya akan datang.

Dakwanya lagi, hubungan Bersatu dan Pas termasuk di negeri ini dilihat tidak lagi sehaluan selepas beberapa isu yang melanda dalam PN. – Majestic

More From Author

Raksasa 1998: Detik emas XPDC yang takkan berulang

Fasa akhir OSIT RTS berjaya