ISKANDAR PUTERI: Johor Darul Ta’zim (JDT) menang bergaya ke atas Bangkok United dengan jaringan 4-0 dalam saingan Piala Shopee pada aksi Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) di sini sebentar tadi.
Dalam perlawanan di Stadium Sultan Ibrahim itu, Bergson Da Silva menjaringkan hatrik dan satu gol daripada Oscar Arribas mengesahkan kemenangan bergaya skuad Harimau Selatan.
Pada babak pertama, kedua-dua pasukan bermula baik apabila JDT dan Bangkok Unitedsaling mengasak dalam usaha membuka jaringan.
Namun, kebanyakan asakan tersebut dilihat gagal menepati sasaran selain berjaya dikekang benteng pertahanan lawan.

Pasukan pelawat tersebut hampir membuka jaringan apabila Muhsen Al Ghassani dijatuhkan dalam kotak penalti minit ke-16.
Bagaimanapun, pengadil perlawanan, Kim Heegon menafikan sepakan penalti berkenaan setelah merujuk kepada video bantuan pengadil (VAR).
JDT memiliki peluang untuk meledak kajaringan pada minit ke-29, namun rembatan pemain lincah Arif Aiman Mohd Hanapi berjaya ditepis penjaga gol, Patiwat Khammal.
Tindakan susulan daripada pemain import, Oscar Arribas pula gagal menepati sasaran.
Penghujung babak pertama menyaksikan tiada jaringan dihasilkan dan menyaksikan kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan menuju bilik persalinan.
Sejurus babak kedua bermula, JDT akhirnya meledak jaringan menerusi rembatan Bergson Da Silva yang sekali gus menggamatkan stadium.

Gol itu dilihat semakin menyemarakkan semangat kesebelasan skuad Harimau Selatan itu untuk terus mengasak ke gawang pelawat dalam usaha menambah jaringan.
Hasilnya, Joao Figueiredo menyempurnakan hantaran Bergson untuk gol kedua JDT pada minit ke-52.
Bergson sekali lagi mencatatkan nama selaku penjaring apabila menjaringkan gol ketiga yang juga gol kedua peribadinya pada minit ke-73.
Bergson kemudiannya meledak gol keempat yang juga merupakan jaringan hattrik buatnya pada masa kecederaan bagi melengkapkan kemenangan bergaya JDT.
Kemenangan itu menyaksikan JDT gah di puncak Kumpulan B denga enam mata hasil dua kemenangan berturut-turut sementara Bangkok United pula berada pada kedudukan kelima tanpa sebarang mata. – Majestic
